Ahad, 22 Mei 2011

Sembilan Yang Terselamat Insiden Tanah Runtuh Stabil

BERNAMA


KUALA LUMPUR : Semua sembilan orang yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Batu 14 Hulu Langat semalam, yang sedang dirawat di hospital, berada dalam keadaan stabil, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata enam mangsa kejadian di Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Al-Taqwa itu ditempatkan di wad khas (bencana) manakala tiga lagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak diselamatkan semalam.

"Tiga di ICU kini stabil, dua lagi yang berumur 13 dan 33 tahun terpaksa dipotong kaki kerana kecederaan teruk manakala seorang lagi mengalami kecederaan di kepala," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat mereka di Hospital Ampang di sini beliau berkata, semua mereka berumur antara sembilan dan 33 tahun.

Sementara itu semasa merujuk kepada kesukaran wartawan mendapat maklumat tepat mengenai tragedi terutamanya ketika berlaku bencana dalam skala besar, Rosnah berkata keadaan itu berlaku disebabkan keadaan yang kelam-kabut susulan kejadian.

"Pihak hospital terpaksa menumpukan perhatian dalam merawat pesakit sehingga tidak mempunyai masa untuk menyalurkan maklumat kepada wartawan," katanya dan menambah perkara itu akan diperbetulkan supaya media mendapat maklumat tepat untuk disalurkan kepada orang ramai.

Kejadian tanah runtuh kira-kira pukul 2.30 petang semalam itu sehingga kini mengorbankan 16 nyawa.

Seorang mangsa yang terselamat, Mohd Alauddin Shafie, 14, yang ditemui di wad khas hospital itu semasa bercerita mengenai kejadian itu berkata ia berlaku dengan pantas, semasa dia bersama tiga lagi rakannya sedang menyusun kerusi di bawah khemah berhampiran rumah itu.

"Saya tengah susun kerusi, dan sedang mencari lagi rakan untuk membantu semasa saya nampak tanah dari lereng bukit jatuh menghala ke arah saya. Saya cuba berpusing tetapi pintu berhampiran tak boleh dibuka, tiba-tiba saya dihempap kerusi dan papan putih mengakibatkan tangan kiri patah," katanya.

Dalam tragedi itu, Mohd Alauddin kehilangan adiknya Mohd Hazim, 10, tahun yang meninggal dunia akibat tertimbus dalam runtuhan itu.

Sementara itu seorang lagi mangsa yang terselamat Muhamad Akmal Mohd Jefry, 11, ketika ditemui berkata kejadian berlaku semasa dia sedang mengemas untuk menyambut ketibaan tetamu bagi satu majlis rasmi apabila secara tiba-tiba dia melihat tanah yang datang dengan banyak secara tiba-tiba.

"Saya ingatkan khemah jatuh sahaja, tapi saya dengar bunyi kuat tanah runtuh. Ketika saya tengah lari saya terjatuh, tergelincir dan terhantuk dengan dinding. Kaki saya tersepit," katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Marliza Sulong, 43, emak Akmal yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir di SK Bandar Tun Hussein Onn 2, doktor memberitahu beliau bahawa anaknya boleh pulang ke rumah dalam sehari dua lagi

Tiada ulasan: