Khamis, 12 Mei 2011

Program Kerajaan Pakatan berfaedah untuk rakyat

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat tidak perlu risau dengan fitnah-fitnah tidak berasas yang dilemparkan oleh Umno BN terhadapnya kerana parti-parti yang berada dalam Pakatan Rakyat adalah parti-parti yang proaktif.

Sebaliknya, ketika Umno BN yang sedang terdesak mengasak dengan pelbagai fitnah, Pakatan Rakyat tetap akan terus bekerja keras untuk ke hadapan bagi membantu dan mempertingkatkan hidup rakyat.

Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin menegaskan, hasilnya pasti akan dapat dinilai sendiri oleh rakyat sehingga akan menyebabkan Umno BN yang akan terus tertolak dan termakan dengan fitnah-fitnah yang diciptakannya sendiri.

Menurut beliau, sebagai gabungan parti yang bertanggungjawab, Pakatan Rakyat tidak mempunyai masa untuk melayan fitnah-fitnah tidak berasas yang diciptakan oleh Umno BN kerana Pakatan Rakyat sendiri mempunyai agenda lebih jauh untuk kepentingan negara dan seluruh rakyat negara ini.

Katanya, walaupun Pakatan Rakyat mempunyai saluran amat terhad untuk menyebarkan segala perancangan kepada masyarakat, tetapi rakyat negara ini sudah semakin bijak membuat penilaian mereka sendiri dengan dibantu sumber-sumber sedia ada.

"Tindakan kita dalam Pakatan Rakyat sememangnya amat jauh berbeza dengan Umno BN kerana kita sememangnya sentiasa bekerja untuk rakyat, tetapi Umno BN pula sentiasa sibuk dengan membuat pelbagai fitnah.

"Lebih menyedihkan apabila fitnah-fitnah yang dibuat oleh mereka itu turut menjadikan politik negara ini kotor, hina dan lucah yang memang amat menjijikkan rakyat," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan jahat Umno BN yang kini semakin menjadi-jadi sehingga turut menyebarkan pelbagai fitnah dan tuduhan tidak berasas kepada Pakatan Rakyat, termasuk mengatakan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menzalimi rakyat sepanjang memegang tampuk pemerintahan sejak tahun 2008 lalu.

Pada hal dalam masa yang sama, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah melakukan pelbagai program amat berfaedah kepada rakyat berbanding semasa Selangor berada di bawah pemerintahan BN dulu.

Antara usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan pakatan Rakyat Selangor termasuklah memberikan air percuma kepada rakyatnya, warga emas yang meninggal dunia diberikan wang kifalah RM2,500.

Selain itu, setiap bayi yang dilahirkan mendapat RM100 sehingga apabila berumur 18 tahun wangnya yang terkumpul sebanyak RM1,500, menyediakan rumah mampu milik kepada rakyatnya, di samping pelbagai program lain lagi.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, ketika Umno BN semakin rancak menuduh Kerajaan Pakatan Rakyat sedemikian, rakyat sendiri semakin tahu yang sebenarnya menzalimi rakyat bukanlah Pakatan Rakyat, tetapi Umno dan BN sendiri sejak sekian lama.

"Terkini yang boleh dirasai sendiri oleh rakyat adalah kenaikan harga gula sebanyak 20 sen, dari RM2.10 kepada RM 2.30 sekilogram, yang tentunya amat tidak patut dan amat membebankan rakyat," katanya.

Sejak 5 Mei lalu pula, rakyat telah dibebankan dengan kenaikan harga petrol RON97 sebanyak 20 sen dari RM2.70 kepada RM2.90 seliter, tetapi harga petrol RON95 tetap tidak diturunkan.

"Patutkah Kerajaan BN bertindak sedemikian? Ini amat berbeza dengan Pakatan Rakyat yang tidak langsung hendak membebankan rakyat, sebaliknya sentiasa berusaha membantu rakyat dari segala aspek seperti yang digariskan dalam Buku Jingga," tegasnya yang juga Ketua Wanita PKR.

Sehubungan itu, beliau berharap agar rakyat Selangor terus memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah negeri itu pada PRU Ke-13 nanti, bagi membolehkan pelbagai program lain yang disusun dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

"Amat banyak lagi program yang hendak dibuat oleh Pakatan Rakyat untuk membantu rakyat. Jika terus diberikan amanah memerintah, rakyat sendiri boleh melihatnya dengan jelas.

"Lebih-lebih lagi jika Pakatan Rakyat diberikan peluang memerintah negara. Pasti akan lebih mudahlah jadinya untuk Kerajaan Pakatan Rakyat menyusun dan melaksanakan pelbagai program untuk membantu rakyat di seluruh negara," ujar beliau.

Tiada ulasan: