Ahad, 8 Mei 2011

Perkasa buat laporan polis di seluruh negara

THE MALAYSIAN INSIDER

TUMPAT– Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) hari ini membuat laporan polis di seluruh negara berhubung laporan berita yang mendakwa wujudnya agenda untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, sehingga petang ini sudah 10 laporan polis dibuat bagi meminta pihak berkuasa menyiasat segera laporan itu yang dianggap serius.

“Ini soal sensitiviti dan ia sangat serius dan sebab itu Perkasa membuat laporan polis ini untuk menyiasat segera perkara ini agar tidak berlarutan.

“Jika benar seperti yang dilaporkan, Perkasa begitu kecewa dan khuatir kerana ia membabitkan soal agama yang sangat sensitif,” katanya dipetik Bernama.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan sekali gus melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut itu.

Di Balai Polis Kota Baru, laporan polis dibuat Timbalan Yang Dipertua Perkasa Kelantan, Mohd Fauzi Muhammad pada pukul 2.30 petang.

Beliau berkata laporan itu meminta polis membuat siasatan kerana jika benar, agenda itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa agama Islam adalah agama rasmi negara.

“Perkasa Kelantan memandang serius perkara ini kerana ia telah dipersetujui oleh semua kaum bahawa Islam adalah agama rasmi. Ia tidak harus dibincangkan oleh mana-mana pihak dalam hal ini,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata perkara itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan.

Rais berkata, penelitian perlu dibuat terlebih dahulu sama ada bahasa yang digunakan itu adalah bahasa yang memecah-belahkan masyarakat atau pun yang menyentuh soal hasutan.

“Saya akan mengutus apa-apa pandangan terus kepada Menteri Dalam Negeri untuk beliau pula melihat perkara ini dari sudut keselamatan negara.

“Kami dari sudut undang-undang siber manakala Menteri Dalam Negeri dari sudut undang-undang keselamatan,” katanya di Kuala Klawang.

Tiada ulasan: