Rabu, 25 Mei 2011

Peneroka Kesedar dihimpit kemiskinan

M Faqih

GUA MUSANG: Harapan peneroka apabila menyertai rancangan kemajuan tanah (RKT) setidak-tidaknya kehidupan mereka berubah setelah memiliki kebun sendiri.

Namun lain pula bagi peneroka di bawah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) apabila ramai sekarang berada di bawah garis kemiskinan tegar.

Rata-rata peneroka berpendapatan antara RM350 sehingga RM500 sebulan hasil elaun sara hidup yang dibayar Kesedar selepas pokok sawit mereka ditebang bagi projek tanam semula.

Dengan jumlah pendapatan itu ramai peneroka tidak dapat membayar yuran persekolahan anak-anak dan menampung sara hidup harian.

Sedangkan bantuan sara hidup di bawah Felda RM1,000 sebulan bagi tahun pertama.

Abdul Shakur Che Daud, 43 (gambar bawah) dari Kesedar Paloh 2 berkata, sejak projek tanaman semula kelapa sawit dijalankan ramai peneroka sekarang dihimpit kemiskinan.

Katanya, jumlah elaun sara hidup tersebut dibayar Kesedar setiap bulan dalam tempoh empat tahun sehingga pokok sawit yang ditanam berbuah.

”Jumlah sara hidup sebanyak itu dipotong lagi setiap bulan sebanyak RM20. Kalau peneroka menerima RM350 dipotong RM20 maka tinggal RM330.

”Jumlah elaun sara hidup sebanyak itu menyebabkan rata-rata peneroka di bawah Kesedar sekarang semakin terhimpit sehingga ramai tidak mampu membeli keperluan harian seperti orang lain,” kata beliau ketika ditemui di sini.

Sedangkan penubuhan Kesedar pada 1978 bertujuan mengimbangi komposisi penduduk di antara Kelantan selatan dengan utara, membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

Abdul Shakur berkata, matlamat membantu penduduk miskin seperti digaris di bawah akta Kesedar seperti tidak lagi berlaku sekarang.

”Cuba bayangkan dengan pendapatan sara hidup sebanyak RM330 sebulan hendak menghantar anak ke sekolah pun susah.

”Sekarang isteri dan anak-anak peneroka terpaksa bekerja di tempat lain bagi menyara kehidupan. Ada juga anak peneroka terpaksa berhenti sekolah,” ujarnya.

Fauzi Hassan, 58 dari Paloh 1 bagaimanapun hairan mengapa setiap bulan peneroka dipaksa membayar tunai RM20 kepada Kesedar sebelum mendapat elaun sara hidup yang diterima melalui bank.

Tiada ulasan: