PORT DICKSON: Penduduk sekitar bandar peranginan ini telah dikejutkan dengan kejadian kebocoran minyak mentah yang belum diproses dipercayai berpunca dari loji penapis minyak dekat sini.
Adalah difahamkan loji berkenaan telah ditutup pada hujung minggu untuk kerja-kerja pembaikan. Bagaimanapun kebocoran itu dikesan sejak petang Sabtu lalu.
Proses membersihkannya kini sedang dijalankan.
Ramai yang melihat para pekerja yang mengenakan pakaian perlindungan khas berwarna putih melakukan kerja-kerja pembersihan di sebuah saliran dekat sini sepanjang hari minggu untuk membersihkan minyak yang bocor keluar itu.
Jentera berat termasuk jentolak turut kelihatan di kawasan yang tercemar untuk kerja-kerja pembersihan itu.
Beberapa penduduk di Kampung Paya dan Kampung Air Meleleh, yang terletak berhampiran dengan loji berkenaan telah memaklumkan tentang kebocoran itu kepada pihak pengurusan loji apabila melihat tompokan minyak hitam mengalir keluar menerusi salah satu saliran monson berhampiran kampung mereka.
Bau minyak yang kuat juga segera menyelubungi kawasan berkenaan.
Sementara itu dalam reaksi segera, Pengurus Komunikasi dan Perhubungan Korporat Shell Refining Company, Amri Mohd Sham, telah mengesahkan kebocoran itu yang bermula Sabtu lalu.
Katanya, langkah segera oleh kakitangan Shell dari loji berkenaan dengan bantuan Kumpulan Petroleum Industry Malaysia Mutual Aid telah berjaya membendung minyak yang mengalir keluar itu daripada memasuki Selat Melaka.
Amri menambah, mendapan minyak yang telah dikutip dari saliran monson tersebut akan dibawa semula ke loji berkenaan.
Katanya, Shell juga telah membuat laporan terperinci kepada Jabatan Alam Sekitar berkenaan insiden tersebut dan juga kepada Jabatan Parit dan Saliran.
“Kami telah bekerja bertungkus lumus sepanjang hujung minggu untuk membersihkan kawasan yang telah tercemar dan situasi sekarang adalah terkawal,” kata Amri sambil menambah, punca kejadian masih lagi dalam siasatan pihaknya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri, Charanpal Singh turut mengesahkan bahawa para pegawainya kini sedang memantau dan menyiasat kejadian itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan