Khamis, 12 Mei 2011

Pemuda PAS minta SPRM siasat jambatan kedua

M Faqih Foto M Yarisman


KOTA BHARU: Mengapa Umno Kelantan begitu beriya-iya benar mahu kerajaan negeri membentang kerta putih berkaitan program Ladang Rakyat, mungkinkah ada isu lain yang mahu disembunyikan.

Apa yang tidak kena dengan pembangunan ladang sawit dibangun Ladang Rakyat, sedangkan lebih 4,300 penduduk miskin mendapat manfaat sebanyak RM200 sebulan.

Malah dakwaan pihak tertentu melalui media massa kononnya kerajaan negeri merampas tanah rakyat bagi pembangunan Ladang Rakyat ternyata tersasar jauh kerana tiada tanah dirampas sehingga kini.

Sepatutnya kertas putih kelewatan jambatan kedua Sultan Yahya (gambar kanan) dan laluan bertingkat melibatkan kos RM157 juta dibentang. Ini kerana ia sudah jauh melepasi tarikh ditetapkan sebelum ini.

Perletakan batu asasnya pada 2 Ogos 2007 dilakukan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sempena lawatan kerja ke Kelantan.

Jambatan terbabit sepanjang 811 meter dan laluan bertingkat dicadang sehingga ke Langgar melalui Jalan Hamzah. Ia sepatutnya siap dalam tempoh 30 bulan iaitu Januari 2010.

Sekarang Mei 2011, bermakna sudah lebih setahun lima bulan terlewat.

Namun pembinaannya tidak sampai 50 peratus biar pun Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed baru-baru ini mendakwa sudah siap 63 peratus.

Prihatin dengan masalah tersebut Dewan Pemuda PAS Kelantan mendesak kerajaan pusat atau Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK) menyediakan kertas putih bagi menjelaskan masalah sebenar di sebalik kelewatan projek berkenaan.

Ketuanya, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, berdasar kepada jumlah peruntukan begitu besar dilulus kerajaan sebelum ini, sepatutnya projek tersebut sudah lama disiapkan.

”Namun sehingga ke hari ini projek terbabit seperti hidup segan mati tak mahu. Di mana tidak kenanya sehingga menyusahkan ribuan pengguna yang melalui jambatan setiap hari.

”Ini isu yang sepatutnya dijelaskan kepada rakyat kerana ratusan juta duit rakyat diluluskan sebelum pilihan raya umum 2008 bagi membina jambatan itu.

”Mungkinkah peruntukan RM157 sudah tidak ada lagi sekarang kerana kerja-kerja pembinaan tidak nampak dilakukan secara serius,” katanya di sini.

Harakah cetak edisi terbaru menyiarkan gambar projek berkenaan yang masih jauh untuk disiapkan, berbanding jalan bertingkat (kiri) di bawah kerajaan negeri di Pasir Mas hanya bernilai RM15.5 juta, kini hampir siap sepenuhnya.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, tentunya ada sesuatu tidak kena dengan projek berkenaan memandangkan projek pembinaan laluan bertingkat di bawah kerajaan negeri hampir siap dibina di Pasir Mas.

”Sebelum ini ramai orang bercakap projek jambatan kedua dan laluan bertingkat tersebut mahal berbanding kos sebenar,” ujarnya.

Sebelum ini ramai pihak termasuk anggota parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mendakwa projek pembinaan Jambatan Sultan Yahya kedua mahal dan tidak sepadan dengan kos sebenarnya.

Oleh itu Pemuda PAS Kelantan mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat projek terbabit kerana dibimbangi ada sesuatu yang tidak kena berlaku.

Tender projek berkenaan dilapor diberi kepada Konsortium IS (M) Sdn Bhd/RIS Capital (M) Sdn Bhd, milik seorang pemuda Umno di Kelantan.

Manakala Redland Sdn Bhd pula difahamkan diberi subkontrak membina jambatan terbabit. Namun sekarang Redland milik pemimpin Umno Tanah Merah tidak lagi kelihatan.

Menjelang pilihan raya umum lalu ada pihak mendakwa pemimpin Umno di Kota Bharu mempamerkan kehidupan mewah.

Tiada ulasan: