Harakahdaily |
KUALA LUMPUR: Pemilihan pucuk kepimpinan PAS kali ini menggambarkan kestabilan parti, ketelusan pimpinan, ketokohan yang ada dalam parti dan sekaligus kredibiliti calon-calon yang bertanding. Ketua Lajnah Penerbitan Dan Penyelidikan Dewan Ulama PAS Terengganu, Nik Nasri Nik Malek berkata, ini kerana pemilihan pucuk pimpinan PAS dalam Muktamar Tahunan kali ini dibuat dalam keadaan negara menunggu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13. Katanya, parti-parti lain menangguhkan pemilihan masing-masing atas alasan mahu menumpukan kepada pilihan raya. Tambahnya, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi menegaskan kesediaan PAS meneruskan pemilihan. “Kesediaan ini menunjukkan pemilihan pucuk pimpinan peringkat pusat ini tidak akan mengganggu gerak kerja ke arah PRU 13 nanti,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Menurutnya, akhbar dan tv terutama yang menjadi tali hidung kepada Umno BN barang kali menunggu dan mencari isu-isu yang dirasakan boleh menggugat kestabilan parti dan kredibiliti calon-calon timbalan, naib presiden dan lain-lain. “Alhamdulillah, tarbiyah PAS kepada pendokong jemaah dalam tempoh yang panjang dan berterusan menjadikan pemilihan PAS berjalan lancar dan cukup harmoni,” ujarnya. Mungkin, katanya ada cakap-cakap tentang kecenderungan seorang kepada seseorang calon. Namun, ujarnya ia adalah perkara biasa dalam sesebuah jemaah dan parti tetapi kecenderungan itu tidaklah sampai menjatuhkan yang lain dengan tidak beradab. Tambahnya, ia boleh berlaku dalam parti sekular tetapi jika berlaku dalam parti Islam, maka ia amat asing. “Alhamdulillah sekali lagi. Tiada calon terlibat dengan rasuah, skandal seks, menipu dan lain-lain perkara yang merobek kredibiliti,” tegasnya. Ini, katanya tidak sebagaimana dalam pemilihan Umno terutamanya politik wang, calon dipalit dengan skandal seks, latar belakang peminum arak dan perasuah menjadi barah yang parah. Tambahnya, ada akhbar yang cuba melihat pemilihan perwakilan PAS akan berdasarkan kredibiliti atau populariti tetapi ia adalah persepsi akhbar itu. Tegasnya, pendukung PAS sudah diajar sebelum ini dan sekali lagi kepimpinan terus mengingatkan tentang tanggungjawab pemilihan di mana kesemua calon ada kredibiliti dan mereka juga popular. Namun, katanya popular dalam PAS diajar oleh tarbiahnya bukan kerana mahukan populariti, tetapi kerana mereka terkehadapan dalam kerja-kerja al-amr bilmakruf wannahy anil-munkar, sama ada dalam konteks politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain, kerana itu mereka dicalonkan. Beliau berkata, cuma fitrah manusia, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan di mana kelebihan dalam satu aspek dan kekurangan dalam aspek lain tetapi kelemahan itu tidaklah menghilangkan kredibiliti dan kelebihan yang ada secara total. Dengan kata lain, ujarnya perwakilan akan memilih yang terbaik dari kalangan yang terbaik. “Rakyat, terutama masyarakat Melayu perlu sedar bahawa pemilihan dalam pucuk pimpinan PAS sekarang dalam muktamar yang akan berlangsung ini yang tenang, harmoni, telus, penuh semangat ukhuwwah, menyedari jawatan bukan kemuliaan tapi pertanggungjawaban inilah yang boleh menjadi petunjuk bahawa PAS mampu memimpin dengan ertikata sebenar, bukan sahaja orang Melayu, bahkan rakyat dan sebagai pemimpin negara bagi menggantikan Umno BN yang sudah lama korup itu,” ujarnya. |
Isnin, 30 Mei 2011
Pemilihan PAS paling bersih, harmoni
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan