Selasa, 17 Mei 2011

PAS Pulau Pinang : Ibrahim Ali Hanya Boleh Cetus Darurat, Huru Hara


Ditulis oleh Shakira Buang



KUALA LUMPUR : Kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa, Datuk Ibrahim Ali untuk melancarkan perang Salib kepada masyarakat Kristian adalah provokasi berbahaya dan boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Salleh Man melalui kenyataan medianya berkata, tindakan Ibrahim itu juga hanya boleh mencetuskan darurat dan menghuru-harakan negara.

“ Ini jelas sekali satu tindakan provokatif yang tidak wajar sama sekali diucapkan oleh seseorang Ahli Parlimen,” katanya.

Menurut Salleh, Ibrahim yang selama ini dilihat pro umno, memperlekeh prinsip 1Malaysia yang didokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia katanya, turut melanggar prinsip Rukun Negara apabila Ibrahim bertindak mencabar komuniti Kristian untuk melancarkan jihad.

“Presiden Perkasa itu memang telah dengan sengaja menguji kesabaran komuniti Kristian dan cuba membangkitkan semangat anti-kristian di kalangan komuniti Islam.

Jelas Salleh, sikap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin yang memandang ringan perkara itu menimbulkan keresahan di kalangan rakyat.

“Ibrahim sepatutya telah ditahan untuk siasatan lanjut dan ditegah daripada berterusan membuat kenyataan seumpama itu,” tegasnya.

Katanya lagi, Pimpinan Umno dan Barisan Nasional sewajarnya menyokong kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang nampak lebih berani mencabar dan menyifatkan kenyataan Ibrahim sebagai biadap dan bersifat ektremis.

“Sejarah telah membuktikan bahawa Ibrahim merupakan antara peribadi yang kerap mencetuskan provokasi pada rakyat agar mencetuskan huru-hara. Inilah Ibrahim, seorang opportunis yang mahu dilihat sebagai wira dalam memperjuangkan Melayu dan Islam, serta sanggup menjentik kepala politik sesiapa pun demi kepentingannya.

Ibrahim, semalam membuat kenyataan bersedia melancarkan perang salib terhadap orang Kristian sekiranya mereka berterusan mempertikai kedudukan masyarakat Islam di negara ini.

“Kalau nak perang salib boleh. Kalau kata keamanan yang kita ada tak memadai dan kemahuan tak mencukupi, kita akan sambut…Jangan ingat orang Melayu Islam diam kerana takut.

“Sebelum pengikut tewas di medan peperangan, ketua (PERKASA) dulu akan mati di hadapan bergelimpangan dengan darah,” katanya merujuk kepada kenyataan kononnya ada usaha menjadikan Kristian agama Rasmi, sepertimana yang dilapor akhbar milik Umno, Utusan Malaysia baru-baru ini.

Kenyataan itu menyebabkan pemimpin masyarakat Kristian hari ini menyelar Ibrahim dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap beliau yang disifatkan cuba membawa padah kepada keharmonian kaum.

Tiada ulasan: