Khamis, 12 Mei 2011

Najib gesa Umno buang politik berpuak hadapi PRU-13

TERKINI

Najib Razak berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-65 Umno malam tadi. — Foto Choo Choy May
KUALA LUMPUR, 11 Mei — Datuk Seri Najib Razak menggesa kepimpinan parti itu agar bersatu dan membuang politik berpuak-puak bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Dalam ucapan Majlis Sambutan Hari Umno ke-65 di sini malam ini, Presiden Umno itu berkata, sebagai sebuah parti keramat di Malaysia, Umno harus melakukan perubahan lebih besar untuk terus mendapat sokongan rakyat terutamanya orang Melayu.

“Kalau kita bersatu, tiada politik puak-puak dalam Umno, kita merupakan parti yang lebih kuat daripada parti-parti lain. Apakah semua (perjuangan) kita sudah selesai? Belum... kenapa masih ada cakap-cakap, masih ada lagi politik puak-puak, apa guna kita sambut ulang tahun 65 tahun kalau kita tidak bersatu?

“Apakah kita sudah berkhidmat bersungguh-sungguh untuk rakyat? Apakah kita rajin turun padang? Dampingi rakyat? Adakah kita dekat di hati rakyat? Belum... belum lagi, jadi sambutan ulang tahun 65 ini kita mesti berikrar untuk dekatkan diri dengan rakyat sebagai pemimpin Umno.

Kalau Umno bersatu, apatah lagi orang Melayu pegang Umno parti keramat, Umno itu Melayu, Melayu itu Umno... kalau semua sudah sedar yang mana ada kekurangan kita perbaiki sebab kita tidak mahu sejarah kita berakhir,” katanya di sini.

Kata Najib (gambar), selagi “semboyan” pilihan raya umum ke-13 belum ditiup semua kepimpinan parti Melayu itu harus bekerja keras untuk memantapkan parti itu.

Sambil merujuk beberapa siri kekalahan pilihan raya kecil sebelum ini, Perdana Menteri itu meminta agar kepimpinan parti itu melupakan “mimpi ngeri” yang berlaku dan bangkit untuk melakukan perubahan yang lebih besar.

Beliau juga menyifatkan kekalahan besar Umno pada pilihan raya umum 2008 merupakan satu “mimpi ngeri” yang harus dilupakan.

“Sejak setahun yang lalu pada tanggal sama kita telah berhimpun di dewan ini dan mungkin ketika itu kita mempunyai perasaan yang berbeza dengan perasaan yang kita rasai hari ini, pada masa itu mungkin ada perasaan sama ada parti yang kita kasihi ini akan dapat sokongan daripada rakyat setelah kita mengalami mimpi ngeri pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008.

“Setelah pilihan raya umum ke-12 kita telah mengalami beberapa pilihan raya kecil di mana parti Umno dan BN (Barisan Nasional) telah kecundang di beberapa kawasan yang diadakan, namun setelah kita membuat penyusunan semula dalam tempoh setahun lalu sehingga mutakhir ini nasib Umno sudah mula berubah daripada parti yang banyak mempersoalkan kelangsungan sebagai sebuah parti yang berkuasa hari ini, kita berdiri tegak sebagai sebuah parti yang unggul dalam negara,” katanya.

Tegas Najib, beliau berkata demikian selepas menyaksikan Umno mula mendapat kembali sokongan rakyat melalui beberapa pilihan raya kecil yang dimenangi parti itu.

“Saya kata begini kerana beberapa ujian yang telah kita lalui kebelakangan ini bermula di pilihan raya kecil Bagan Pinang, Batu Sapi, Tenang, Merlimau dan Kerdau kita telah mencapai kejayaan yang sangat cemerlang.

“Undi kita bertambah, ada undi yang lebih besar dari pilihan raya umum 2008 tapi di Kerdau ia melebihi undi pada 2004 malah kita dapat bantu rakan-rakan kita di Sarawak untuk memenangi pilihan raya negeri,” katanya.

Bagaimanapun Najib mengingatkan agar kepimpinan parti tidak terlalu selesa kerana masih banyak perkara yang perlu dilakukan.

“Tapi adakah ini bererti kita berada dalam keadaan yang begitu selesa? Saya kata selagi semboyan belum dibunyikan... semboyan pilihan raya umum ke-13 belum dibunyikan kita mesti bekerja lebih kuat, gigih untuk mantapkan parti.

“Walaupun transformasi berjalan tapi kita harus mantapkan lagi, bukan susah sangat pun... bukan satu rahsia besar, tidak susah... mudah sahaja kerana kalau kita menoleh dan buka balik lipatan sejarah Umno cuba kita bayangkan nilai perjuangan orang dahulu kita akan akan tahu rahsianya iaitu bersatu, bersetia dan berkhidmat,” katanya.

Justeru sebagai sebuah parti Melayu terbesar kata Najib, beliau tidak mahu parti itu terkubur seperti parti-parti Melayu yang lain.

“Kita tidak mahu Umno seperti nasib parti-parti lain, ada parti yang berjasa tapi terkubur, Umno belum mengalami nasib itu... jangan hendaknya kita dapat nasib sama.

“Semua pemimpin Umno seluruh negara, jenama kita masih tinggi nilainya di kalangan rakyat. Kalau kita bekerja kuat, kalau kita dahulukan rakyat, kalau kita setia kepada parti Umno akan terus berkuasa di bumi bertuah ini,” katanya.

Semalam Najib menggesa kepimpinan parti meningkatkan usaha untuk memantapkan persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Bunyikan semboyan, pukullah gendang perang dan panaskan jentera. Jangan sesekali membiarkan fitnah, kepalsuan dan cubaan untuk memperdaya rakyat berjaya.

“Ingatlah, jasa-jasa lalu akan hanya tinggal dalam lipatan lembaran sejarah jika kita gagal dalam ujian yang besar ini. Umno perlu terus gagah dan relevan untuk melakar jasa-jasa baru demi untuk agama, bangsa dan negara,” katanya.

Tiada ulasan: