Jumaat, 27 Mei 2011

MIED tarik balik saman terhadap Samy Vellu

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Saman RM100 juta yang difail oleh Institut Kemajuan Pendidikan Maju (MIED) diselesaikan dengan baik apabila MIED menarik balik saman terhadap pengerusinya Datuk Seri S Samy Vellu dan tujuh pemegang amanah cabang pendidikan MIC itu, lapor media petang ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim membenarkan permohonan MIED bagi menarik balik samannya terhadap dakwaan berlaku salah pengurusan yang didakwanya mengakibatkan institut itu mengalami kerugian.

Bernama Online melaporkan permohonan menarik balik saman itu dikemukakan selepas bekas Ketua Pemuda MIC A Vigneswaran yang memulakan saman, dilantik menganggotai Lembaga MIED sebagai pemerhati bagi tempoh setahun bermula dari 12 Mei lalu.

Menurut perjanjian penyelesaian, dalam mengambil kira Vigneswaran melaksanakan tanggungjawanya, Lembaga MIED akan melaksanakan tindakan, yang antara lain melantik Vigneswaran, yang juga anggota MIED, untuk menganggotai Lembaga MIED sebagai pemerhati.

Ia juga menyatakan bahawa MIED akan melaksanakan perintah setahun bagi menghalang tindakan menyenarai hitam pelajar-pelajar MIED untuk membolehkan mereka membayar balik pinjaman mereka, faedah pinjaman ditetapkan pada kadar empat peratus dan pembayaran balik pinjaman bermula dari tarikh pelajar mula bekerja atau enam bulan dari tarikh graduasi.

Laporan itu menambah lembaga MIED juga akan menghentikan prosedur berjadual untuk kelulusan pinjaman pelajaran, dan melantik Messrs Deloitte Corporate Solutions Sdn Bhd sebagai Perunding Pengurusan/Akauntan Pengurusan bagi MIED di samping mematuhi penutupan penuh transaksi utama dan perkara-perkara yang berkaitan dengan MIED di mesyuarat Lembaga.

Institut itu memfail writ saman selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Mah Weng Kwai pada 14 Jun lalu, membenarkan permohonan Vigneswaran untuk menamakan MIED sebagai plaintif dalam saman yang dimulakannya terhadap pemegang amanah MIED.

Vigneswaran memohon kebenaran mahkamah untuk memulakan saman itu di bawah Seksyen 181A Akta Syarikat 1965.

Seksyen Akta itu memerlukan sesebuah syarikat yang hendak menjadi plaintif dalam suatu saman, terlebih dahulu perlu mendapatkan kebenaran mahkamah.

Dalam saman yang difail 5 Julai lalu, beliau menamakan Samy Vellu, penggantinya Datuk G Palanivel, Tan Sri M Mahalingam, Tan Sri Dr T Marimuthu, Tan Sri Dr S K Ampikaipakam, Tan Sri Dr Karnail Singh Nijhar, Tan Sri K Kumaran dan Tan Sri G Vadiveloo dan sebuah firma sudit Kumpulan Naga sebagai plaintif.

Hari ini Hakim Abdul Aziz merekodkan perjanjian penyelesaian yang dicapai antara pemegang Lembaga MIED dan Vigneswaran di hadapan peguam-peguam yang mewakili semua pihak.

Peguam Datuk David Gurupatham dan A Vasanthi mewakili MIED, manakala peguam Gopal Srinivas bagi Samy Vellu, Ampikaipakam serta Vadiveloo, dan Prem Ramachandran mewakili Mahalingam.

Gurupatham memberitahu wartawan bahawa pelanggannya menarik balik saman itu demi kepentingan komuniti kaum India, supaya MIED akan dapat dikendalikan dengan lebih telus.

Sementara itu Vasanthi berkata hakim gembira apabila semua pihak mencapai penyelesaian demi manfaat MIED, dan hakim membenarkan permohonan bagi menarik balik saman itu tanpa perintah untuk membayar kos.

Dalam saman itu, MIED mendakwa semua defendan melanggar tanggungjawab fidusiari dan tanggungjawab berkanun mereka serta gagal menunaikan tanggungjawab sebagai pemegang amanah serta juruaudit, sehingga menyebabkan institusi itu mengalami kerugian besar.

Ia juga memohon injunksi bagi menghalang Samy Vellu daripada terus menerajui institut, supaya keanggotaan Samy Vellu dalam MIED dilucutkan, dan bagi Samy Vellu mengembalikan semua wang dan keuntungan yang diperoleh dari MIED, sama ada oleh beliau sendiri ataupun anggota keluarga dan rakan-rakan.

Tiada ulasan: