Khamis, 19 Mei 2011

MBM mahu bukukan perjuangan merdeka Tun Razak


KUALA LUMPUR— Majlis Belia Malaysia (MBM) akan membukukan riwayat perdana menteri kedua Tun Abdul Razak (gambar fail) untuk tatapan rakyat Malaysia dan antarabangsa supaya memahami perjuangannya sebagai Bapa Pembangunan.

Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapie berkata, beliau juga akan menjelajah ke beberapa negara Eropah untuk mengumpul maklumat dan membukukannya untuk menambah koleksi Bapa Pembangunan.

“Kami akan menjelajah ke Eropah untuk mengumpul maklumat yang dirasakan masih tertinggal semasa beliau berjuang mendapatkan kemerdekaan Malaysia,” katanya pada sidang media Siri Jelajah “Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan-Suatu Pengkisahan” ke Benua Eropah bersama MBM, hari ini.

Maliki turut berkata, buku ini akan diterbitkan tahun depan dalam dwibahasa.

Katanya, beliau menyasarkan golongan pembaca bukan sahaja terdiri daripada masyarakat tempatan tetapi juga antarabangsa.

Maliki berkata lagi, kos menghasilkan buku ini dijangka menelan dana besar kerana pengisiannya melibatkan jelajah ke benua Eropah.

“Kami akan memohon sumbangan daripada agensi kerajaan membantu membiayai separuh daripada perbelanjaan,” katanya.

Selepas pulang dari Eropah, beliau akan mengadakan teater sebagai acara kemuncak menghargai perjuangan Tun Abdul Razak di Royal Albert Hall, London pertengahan tahun depan.

“Teater berkenaan melibatkan sejarah perjuangan Tun Abdul Razak berusaha untuk mendapatkan kemerdekaan kepada Malaysia,” ujarnya.

Tiada ulasan: