Ahad, 1 Mei 2011

MB : PAS UMNO Tidak Bergabung Kerana Beza Ideologi

TVS NEWS




KUALA KUBU BARU 1 MEI : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berpendapat perbezaan ideologi dan perjuangan antara Pas dan UMNO menyebabkan kedua parti itu tidak akan bergabung dalam apa jua keadaan sekalipun.

Menurut Khalid, banyak usaha telah dilakukan dalam menyatukan UMNO dan PAS telah gagal disebabkan prinsip berbeza mereka.

"Cara-cara begitu memang satu cara politik yang saya rasa, kalau sudah berlaku pun sudah berlaku bertahun-tahun, sebab Pas dan UMNO dua parti yang lama dan mereka mempunyai cara dan organisasi tersendiri," kata beliau selepas merasmikan Majlis Perasmian Kem Interaktif Sukma 2011 di Kuala Kubu Baru, Hulu Selangor semalam.

Khalid berkata beliau tidak percaya penyatuan antara dua parti itu akan berlaku apatah lagi PAS sebelum ini pernah dikhianati UMNO.

Selain itu Najib kerap pula menuduh PAS hanya menjadi alat kepada parti DAP dan tiada kepentingan dalam Pakatan Rakyat sedangkan PAS, DAP dan PKR mempunyai suara yang sama dalam gabungan ini.

"Pas pernah bergabung dengan UMNO pada awal tahun 70-an dan nampaknya mereka tidak sealiran dari segi konsep pembangunan rakyat dan juga pentadbiran negara.

"Saya tak percaya ini akan berlaku, walau bagaimanapun, dalam politik kita hanya melihat dan memerhati sahaja," ulas beliau.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan kerajaan UMNO-Barisan Nasional agar Pas keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) dan menyertai UMNO.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menggesa PAS keluar daripada Pakatan Rakyat yang jelas tidak memperjuangkan agenda bangsa, agama dan negara.

Najib berkata sudah tiba masanya PAS meninggalkan pembangkang khususnya DAP yang ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam namun gesaan Najib ditolak oleh pemimpin-pemimpin utama PAS sendiri.

Tiada ulasan: