Khamis, 12 Mei 2011

Kristian-Islam: DAP gesa Najib arah Utusan tarik balik laporan, mohon maaf


KUALA LUMPUR — DAP menggesa Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Utusan Malaysia menarik balik dan memohon maaf secara terbuka ekoran laporan berunsur fitnah yang mengaitkan parti itu dengan konspirasi menjadikan Kristian sebagai agama rasmi dan melantik perdana menteri daripada kalangan penganut agama itu.

Selain itu, menurut Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pihaknya juga mahu Utusan Malaysia menggantikan editor dan wartawan akbar itu yang terlibat dengan penyiaran laporan bersifat fitnah dan boleh merosakkan gagasan 1 Malaysia yang diperjuangkan Najib.

Kata beliau, hanya dengan cara itu Najib boleh membuktikan bahawa Utusan Malaysia tidak mendapat imuniti apabila mengeluarkan laporan salah dan fitnah.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya boleh meyakinkan rakyat Malaysia bahawa Utusan Malaysia bebas dari imuniti dengan mengarahkan Utusan Malaysia menarik balik dan memohon maaf kerana menyiarkan laporan palsu.

“Selain itu, beliau juga harus menukar editor dan wartawan yang terlibat dengan laporan yang bahaya ini dan boleh membakar gagasan 1 Malaysia,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Laporan Utusan Malaysia bertajuk “Kristian Agama Rasmi?”, Sabtu lalu mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri dari kalangan penganut itu.

Akhbar berbahasa Malaysia milik Umno itu juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.

Utusan Malaysia melaporkan perkara itu selepas memetik laporan sebuah blog yang menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan paderi-paderi di sebuah hotel di Pulau Pinang minggu lalu.

Bagaimanapun kumpulan Kristian dan DAP menafikan dengan keras dakwaan itu sambil menyifatkan laporan Utusan Malaysia itu “pembohongan yang bahaya.”

Kata Lim, Utusan Malaysia berani bertindak mengeluarkan laporan yang tidak benar kerana akhbar itu didokong sepenuhnya oleh Umno malah agenda mingguan akhbar tersebut ditetapkan oleh Biro Politik Umno yang dipimpin oleh diketuai Najib.

“Presiden Kesatuan Wartawan Nasional (NUJ), Hata Wahari, mendedahkan agenda-agenda dalam Utusan Malaysia ditetapkan Biro Politik Umno yang mengadakan perbincangan setiap Isnin untuk menentukan agenda mingguan akhbar itu.

“Mereka yang berada dalam biro itu adalah Najib, timbalannya (Tan Sri) Muhyiddin Yassin, tiga naib presiden (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi, (Datuk Seri) Hishammuddin Hussein dan (Datuk Seri) Shafie Afdal termasuk Setiausaha Agung Umno (Datuk Seri) Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan Umno (Datuk) Ahmad Maslan,” katanya.

Tambah Lim, beliau juga mencabar parti komponen BN untuk membantah tindakan Utusan Malaysia dalam mesyuarat Kabinet.

“DAP mencabar menteri MCA, Gerakan dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) mengemukakan bantahan tegas terhadap Utusan Malaysia dalam Kabinet.

“Sekiranya mereka gagal berbuat demikian bermakna mereka adalah talam dua muka seperti Umno,” katanya.

Tiada ulasan: