Jumaat, 6 Mei 2011

Jelajah Anwar ke Terengganu hari ini

Khairul Azlam Mohamad

KUALA TERENGGANU: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan siri jelajahnya ke Terengganu, hari ini.

Harakahdaily dimaklumkan, program bermula 5.00 petang dijangka seramai 3,000 pemuda menyambutnya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) sebelum diarak ke program rapat setia pimpinan PKT Terengganu di Seberang Takir.

Beliau akan menyampaikan dua ceramah iaitu di perkarangan Madrasah Darul Iman, Kedai Buloh, Marang bersama Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail dan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Abu Bakar Chik.

Manakala, ceramah keduanya diadakan di Dataran MTD Batu Burok, Kuala Ibai bersama Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Ketua Penerangan PKR, Dr Mohd Nor Manuty dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.

Setiausaha Politik Ketua Pembangkang, Abdul Rahman Yusof berkata selepas program bersama pimpinan PKR Terengganu, Anwar menunaikan solat Maghrib, solat hajat serta tazkirah di Surau Kampung Tanjung, Batu Rakit, Setiu.

“Ini program Siri Jelajah Anwar ke Terengganu untuk menjelaskan isu-isu terkini yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat.

“Rakyat akan didedahkan secara langsung mengenai politik, ekonomi dan permasalahan negara di bawah pemerintahan Umno dan Barisan Nasional hari ini,” ujarnya.

Beliau difahamkan pelbagai tekanan cuba dilakukan oleh pihak tertentu bagi menghalang kelancaran program jelajah Anwar ke negeri ini.

Tiada ulasan: