Isnin, 9 Mei 2011

Isu Kristian: Sikap Membisu MCA & MIC Jelas Mereka Terpinggir Dalam BN

SABAH DAILY


Tindakan membisu MCA dan MIC berhubung isu agama Kristian menunjukkan mereka tidak mempunyai "kekuatan" atau paling tepat tidak mempunyai sokongan untuk membuat sebarang komentar mengenainya memandangkan parti itu adalah parti terpinggir dalam Barisan Nasional (BN).

Namun menurut ahli parlimen Klang, Charles Santiago, jika benar kedua-dua parti berkenaan mahu mewakili suara rakyat terutama penganut Kristian yang diwakili mereka, keadilan haruslah ditegakkan walau dengan apa cara sekalipun.

“Mereka pun sudah tidak tahu apa nak komen. Mereka pun tahu mereka telah dipinggirkan dalam konteks Barisan Nasional. Mereka tahu mereka tidak mempunyai peranan dan pegangan politik. Sepatutnya untuk memperjuangkan hak rakyat di negara ini, mereka perlu kritik Perdana Menteri dan Utusan tetapi mereka tidak mempunyai tulang belakang untuk mengkritik,” katanya kepada Tv Selangor.

Tambah Charles, senario semasa yang cuba dibangkitkan oleh media kawalan Umno-BN dalam isu agama Kristian membuktikan bahawa slogan 1 Malaysia yang dicanangkan Najib Razak gagal untuk menyatupadukan rakyat di negara ini.

“Kalau isu ini dimainkan akhbar lain, sudah diarahkan tutup dalam tempoh 24jam. Tetapi kerana Utusan adalah suara Umno dan Najib, apabila mereka melanggar undang-undang menghasut rakyat, mereka tidak mengambil tindakan serius. Ini satu tindakan yang salah,” tambahnya lagi.

Pada Sabtu, laporan muka depan Utusan berjudul "Kristian Agama Rasmi?" dibidas pelbagai pihak berikutan hanya menceduk dakwaan daripada 2 laman blog pro-Umno, BigDog dan Marahku, bukannya daripada agensi berita atau individu yang mempunyai kreadibiliti tertentu.

Dakwaan itu terus dinafikan pelbagai pihak termasuk Paderi Besar (bishop) Pulau Pinang, DAP dan pimpinan Pakatan Rakyat yang lain.

Tanpa merujuk kepada pertubuhan yang dituduh, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini memberikan reaksi "gerakan ini amat menghasut dan meletakkan seluruh negara dalam bahaya".

Malah Tv3 juga memaparkan reaksi ramai pemimpin negara yang mengkritik keras pimpinan DAP dan pertubuhan terbabit namun tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Utusan Malaysia yang menyiarkan laporan berbaur hasutan.

Tiada ulasan: