Ahad, 1 Mei 2011

Hisham teruskan niat saman Anwar

MALAYSIA KINI


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau akan meneruskan hasrat memfailkan saman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengaitkannya dengan video seks yang pelakunya mirip Ketua Pembangkang itu.

Beliau berkata dakwaan Anwar itu perlu dijawab di mahkamah agar masyarakat tahu kedudukan sebenar isu terbabit.

"Kita bawa ke mahkamah kerana kalau tidak, apa yang disebar melalui luar dan internet orang akan percaya kerana kita tidak jawab," katanya kepada pemberita selepas penutupan mesyuarat perwakilan Puteri Umno Sembrong, dekat Kluang hari ini.

Hishammuddin berkata tindakan ketua umum PKR mengaitkannya dengan video seks tersebut semata-mata untuk mengalihkan perhatian masyarakat.

"Itu strategi...dia (Anwar) tidak boleh jawab soalan wartawan, dia alih pandangan kepada orang lain. Kita tidak berdosa, kenapa hendak takut," kata Naib Presiden Umno itu.

Mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa PAS perlu keluar daripada pakatan pembangkang, Hishammuddin berkata perkara itu adalah realiti kerana pakatan itu hanya menguntungkan DAP.

"Lihat sahaja sewaktu pilihan raya negeri Sarawak di Beting Maro yang mana disebut akan menjadi tempat yang akan dimenangi PAS, mereka bertanding di lima kerusi semata-mata untuk membuktikan mereka berjaya bertapak di Sarawak tetapi akhirnya lihat apa yang berlaku...mereka kalah semua kerusi yang ditandingi.

"Kita hendak ingatkan kepada PAS bahawa apa yang dibuat ini tidak membawa manfaat dan saya harap mereka akan kaji dan buat pertimbangan yang terbaik," katanya.

Mengenai tindakan kerajaan Selangor mahu membelanjakan RM600,000 bagi memasang papan iklan dalam kempen memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Hishammuddin berkata ia perbuatan terdesak untuk mengalih perhatian orang ramai terhadap masalah yang dialami PKR.

Sambil meminta rakyat Selangor menilai tindakan kerajaan negeri itu membazirkan duit mereka, beliau berkata perbuatan tersebut bukan cara sebenar untuk berpolitik.

"Kerajaan mempertahankan ISA kerana ia ada kaitan rapat dengan jenayah rentas sempadan dan rakyat sendiri boleh terima, kerana kita telah menerangkan suasana hari ini yang menjadikan negara kita sebagai sasaran dan transit dalam soal jenayah antarabangsa memerlukan kita mempertahankan akta ini," katanya.

--Bernama

Tiada ulasan: