Selasa, 10 Mei 2011

Fungsi bank Islam perlu dibaiki bagi jana ekonomi, kata ISRA

Oleh Zulaikha Zulkifli


KUALA LUMPUR — Status dan fungsi perbankan Islam di Malaysia, yang berusia lebih tiga dekad, perlu diperbaiki bagi menjana ekonomi masyarakat, kata Pengarah Eksekutif Akademi Penyelidikan Syariah Dalam Kewangan Islam (ISRA), Prof. Madya Dr Mohamad Akram Laldin.

Justeru kata beliau, dari segi fungsi bank Islam itu sendiri, ia boleh dipertingkatkan selain hanya menjadi perantara kewangan.

“Bank-bank Islam boleh buat lebih dari apa yang mereka lakukan sekarang. Mereka perlu banyakkan aktiviti yang berkaitan masyarakat dan dalam pada sama menjana ekonomi masyarakat tersebut.

“Sebagai contoh, aktiviti membangunkan kawasan perumahan. Selama ini bank Islam hanya memberi pembiayaan kepada pemaju perumahan, tetapi mengapa tidak bank Islam sendiri bersama dengan pemaju membangunkan perumahan di kawasan-kawasan tertentu,” katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

Kelmarin beliau membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Kewangan Islam 2011, bertajuk “Riba Dalam Perbankan Islam: Antara Persepsi dan Realiti”.

Selain perbaiki fungsi dan status bank Islam, Akram berkata, peranan penasihat syariah juga harus diperkasakan.

Katanya, penasihat yang sedia ada kini, kebanyakannya tidak mahir dalam bidang kewangan.

Selain bank Islam sendiri, di Malaysia beberapa bank konvesional juga menyediakan perkhidmatan perbankan dan kewangan Islam.

Ia mengalami peningkatan sejak beberapa tahun lalu.

“Kita perlu perbanyakkan lagi penasihat syariah yang mendalami bidang kewangan ini.

“Hal ini penting kerana penasihat yang sedia ada kebanyakannya hanya tahu mengenai syariah sahaja tetapi tidak tahu mengenai kewangan,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan agar penasihat syariah perlu mempelajari lebih banyak perkara yang berkaitan kewangan.

“Selain memberi pandangan sahaja, mereka (penasihat syariah) boleh pelajari tentang selok-belok kewangan daripada orang industri itu sendiri. Jadi, secara tidak langsung ia boleh memaksimumkan lagi kewujudan mereka dalam industri perbankan,” ujarnya.

Tiada ulasan: