Khamis, 12 Mei 2011

Fitnah: Pimpinan Umno langgar Waadat Melayu

Afiq Hizami, Pelatih UKM


Dakwaan fitnah ke atas pemimpin politik Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui penyebaran rakaman video seks, mengaibkan, dan menjijikan tidak sepatutnya dilakukan kerana ia bertentangan dengan prinsip Islam dan juga melanggar Waadat Melayu yang telah dimenterai sekian lama.

Dalam prinsip Waadat Melayu yang terkandung dalam buku sastera sejarah Sulalatus Salatin, perjanjian yang berlaku antara Demang Lebar Daun dan Sri Tri Buana mencerminkan politik orang Melayu tradisional sangat menitik beratkan agar pihak pemerintah atau raja-rajanya tidak sesekali mengaibkan rakyatnya.

Namun, pekara ini dilihat berlaku sebaliknya, Umno telah melanggar perinsip pertama muafakat antara kerajaan dengan rakyat ini.

Hal ini jelas terkandung dalam teks sejarah Melayu hasil karya Tun Sri Lanang, seperti dalam petikan dibawah:

  • "Seperkara lagi. Perjanjian patik mohonkan anugerah ke bawah Duli Yang Maha Mulia, segala hamba Melayu itu jikalau ada dosanya ke bawah duli, patik pohonkan janganlah ia difadihatkan. Dinista yang keji-keji, jikalau patut pada hukum syarak bunuh, tuanku; jangan tuanku aibi".
  • Maka titah Seri Teri Buana, "Kabullah hamba akan janji paman itu: tetapi hamba pun hendak minta janji juga pada paman."
  • Maka sembah Demang Lebar Daun," Janji yang mana itu, patik pohonkan titah duli Yang Maha Mulia.
  • Maka titah Seri Teri Buana, "Hendaklah oleh segala anak cucu hamba, jikalau ada salahnya sekalipun, atau zalim jahat pekertinya, jangan segala hamba Melayu itu derhaka dan menitikkan darahnya ke bumi, jikalau mereka itu akan cedera, berundur hingga takluk negerinya juga."
  • Maka sembah Demang Lebar Daun,"Baiklah tuanku, tetapi jikalau anak cucu duli tuanku dahulu mengubahkan, anak cucu patik pun berubahlah tuanku."
  • Maka titah Seri Teri Buana " Baiklah paman, kabullah hamba akan waad itu."


Gambaran yang tedapat dalam teks tersebut adalah kontrak sosial antara pemerintah dan rakyat yang boleh juga dipandang sebagai dialog tentang
demokrasi dan pendemokrasian dalam masyarakat feudal Melayu masa silam.

Gambaran dalam dialog ini penting kerana mempunyai banyak implikasi kepada sistem pengurusan negara, masa dahulu dan zaman pemerintahan pimpinan Umno sekarang ini.

Pekara ini tidak mungkin ada tanpa kepercayaan satu pihak dengan yang lain tidak seperti kolonialisasi yang diamalkan oleh pimpinan Umno yang hanya mempercayai dan berkomplot dengan pihaknya sahaja tetapi perlu adanya satu pihak lain seperti Pakatan Rakyat.

Justeru itu, pekara lain yang terdapat dalam dialog itu adalah sudah mempunyai jaminan kebebasan bersuara dalam masyarakat itu dan bukannya dikawal seperti Umno mengawal "suara" akhbar Utusan untuk menabur fitnah kepada rakyat.

Moralnya dalam dialog itu adalah pihak pimpinan Umno seharusnya mematuhi waadat tersebut dan sekiranya melanggari waadat tersebut pihak pimpinan Umno boleh melihat kepada kejatuhan kerajaan Melayu di Melaka.

Ia bukan sahaja kerana serangan Portugis pada 1511, tetapi yang memberi tamparan maut kepada kerajaan Melayu itu sebenarnya adalah yang sudah reput dari dalam kerana rebutan kuasa, fitnah-memfitnah, perbuatan curang dan lain-lain yang memecahkan perpaduan dan kharmonian dalam masyarakatnya sendiri.

Sebagai pihak pemerintah dan juga pihak yang diperintah, perlulah saling mengawal agar tidak melampaui batasan yang dipersetujui.

Kawalan semacam itu diperlukan memandangkan kedua-dua pihak mempunyai kelemahan selain kekuatan yang mungkin tidak dipunyai pihak yang lain.

Daripada pelbagai episod yang diceritakan dalam Sejarah Melayu, pimpinan Umno harus mengambil nasihat dan saranan dalam buku tersebut.

Hal ini kerana fitnah, hasutan, penyelewengan kuasa, pilih kasih, kezaliman pemerintahan, perbuatan rasuah, perjanjian longgar yang dilakukan oleh pimpinan Umno telah menimbulkan banyak konflik dan perbuatan ini yang sudah mereputkan barisan pimpinan Umno itu sendiri.

Sehubungan itu, jelas betapa pentingnya falsafah dan kepercayaan dalam sastera Melayu lama dalam kehidupan masyarakat dewasa ini seterusnya penghayatannya dapat memberi keadilan dan faedahnya dinikmati sesama insan.

Karya kesusasteraan Melayu tradisional bukan hanya sekadar khazanah atau warisan bangsa tatapi merupakan titik permulaan peradaban kepada tamadun bangsa.

Segala pemikiran di dalamnya terkandung nilai sejagat yang harus dicerapkan ke dalam masyarakat kini.

Tiada ulasan: