Isnin, 16 Mei 2011

‘Datuk T’ sedia didakwa di mahkamah, kata Eskay


KUALA LUMPUR— Ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah sudah bersedia untuk menghadapi tuduhan mempertontonkan video seks yang si pelakunya didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil melahirkan keyakinan dengan pengesahan terbaru polis mengenai ketulenan rakaman itu.

Shazryl juga yakin bahawa polis akan mendedahkan identiti lelaki dalam rakaman video itu, yang pertama kali dipertontonkan kepada media pada 21 Mac lalu, walaupun undang-undang tidak memerlukan identiti mereka yang muncul dalam filem pornografi didedahkan.

“Saya percaya polis akan mendedahkan identiti.

“Berikan mereka sedikit masa memandangkan pasukan mereka baru sahaja pulang dari Amerika Syarikat,” kata beliau dalam kenyataan SMS dari China.

Shazryl (gambar), individu utama dalam pendedahan rakaman video seks itu juga bertanya menerusi SMS sama ada terdapat sebarang maklumat bila beliau akan dikenakan tuduhan di mahkamah.

Apabila ditanya sama ada persoalan itu bermakna beliau sudah bersedia untuk menghadapi tindakan undang-undang, beliau membalas: “Ya, Datuk T akan berada di mahkamah apabila mereka mendakwa kami.”

Beliau merujuk kepada trio “Datuk T” iaitu selain beliau, dua yang lain ialah bekas ketua menteri Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim.

Jumaat lalu, polis mengesahkan bahawa rakaman video seks itu adalah tulen dan sahih.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata pengesahan itu dibuat selepas polis menerima laporan dari pakar luar negara.

“Saya mengesahkan video itu tulen namun saya tidak mengesahkan pelaku tersebut adalah Anwar,” katanya.

Khalid berkata tiada keperluan undang-undang untuk menghebahkan pelaku dalam rakaman video tersebut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Khalid juga mengakui siasatan kes itu kini sudah sampai ke tahap akhir dan laporan dijangka dihantar kepada Pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat selain akan memanggil semua yang terlibat termasuk individu yang memuat naik video untuk diambil keterangan.

Tiada ulasan: