Isnin, 16 Mei 2011

Dakwa Utusan di bawah Akta 574

FREE MALAYSIA TODAY

Laporan Utusan itu hanyalah bersumberkan maklumat yang tidak sahih yang dipos oleh dua blogger pro-Umno dan ternyata tidak benar.



PETALING JAYA: Akhbar Utusan Malaysia harus didakwa di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana menerbitkan laporan yang tidak berasas dan berunsur fitnah bertajuk “Kristian agama rasmi” pada halaman muka hadapan minggu lalu.

Dua Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan N Surendran berkata laporan Utusan itu hanyalah bersumberkan maklumat yang tidak sahih yang dipos oleh dua blogger pro-Umno dan ternyata tidak benar.

“Tuduhan palsu yang disebarkan dengan meluas ini telah menjadi isu negara dan berpotensi untuk menimbulkan perpecahan dan ketegangan kaum di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” kata mereka dalam satu kenyataan media bersama hari ini.

Mereka berkata, berbagai laporan polis telah dibuat supaya tindakan diambil terhadap Utusan, para wartawan dan editor yang bertanggungjawab menyebarkan laporan itu mengikut lunas undang-undang.

“Tetapi laporan-laporan polis ini tidak diendahkan dan siasatan tidak dijalankan malahan akhbar ini hanya sekadar diberi amaran oleh Kementerian Dalam Negeri,” kata mereka.

Ujar mereka, “tidak dapat disangsikan lagi bahawa Utusan menikmati kekebalan dari pendakwaan kerana ia dimiliki oleh parti pemerintah Umno yang bertindak sebagai lidah rasmi parti itu.

Utusan Malaysia kata mereka telah melakukan jenayah dan proses keadilan di negara ini hendaklah berjalan tanpa campur tangan daripada “tuan-tuan politik” akhbar itu.

“Kami mendesak pihak berkuasa segera menjalankan prosiding jenayah terhadap Utusan Malaysia, para wartawan dan editor yang bertanggungjawab di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan,” tegas mereka.

Seksyen 298A melarang sebarang penerbitan perkataan-perkataan yang boleh menyebabkan perselisihan, perpecahan atau perasaan permusuhan, kebencian, kecurigaan atau prejudis dalam usaha untuk memelihara perpaduan dan keharmonian, atas dasar agama di antara warga negara atau sekumpulan warga negara.

Apabila disabitkan kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman penjara di antara dua hingga lima tahun.

Tiada ulasan: