Ahad, 8 Mei 2011

Bahasa dalam iklan perlu kelulusan DBP, PBT

BERNAMA


Para pengiklan perlu merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terlebih dahulu sebelum memohon lesen memasang iklan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ketua Pengarah DBP Datuk Termuzi Abdul Aziz berkata menerusi peraturan itu yang dilaksanakan sejak tahun lepas di bawah undang-undang kecil iklan PBT, DBP akan melihat dari segi penggunaan bahasa dan visual pada iklan berkenaan terlebih dahulu dan apabila diluluskan, barulah mereka boleh memohon lesen daripada PBT sebelum iklan boleh dipasang.

Beliau berkata jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda, penalti atau penjara mengikut undang-undang kecil PBT berkenaan.

"Ramai pengiklan yang telah memohon dan mulai tahun ini kami ada portal yang disediakan dalam laman web www.dbp.gov.my untuk memudahkan mereka (pengiklan) mengakses perkhidmatan yang disediakan," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas mengenai kecenderungan pihak tertentu yang lebih mengutamakan bahasa asing pada papan iklan dalam menyampaikan mesej kepada orang ramai, Termuzi berkata perkara seumpama itu tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku.

Beliau berkata ini kerana undang-undang mengenai perkara itu sudah ada dan hanya penguatkuasaan undang-undang sahaja yang agar longgar.

"DBP sudah membuat persetujuan dengan PBT untuk menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua papan iklan, nama taman perumahan dan sebagainya.

"Bukan tidak boleh gunakan (bahasa asing), pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) misalnya telah menetapkan saiz tulisan bagi bahasa kebangsaan adalah 2/3 lebih besar daripada bahasa asing dan tulisan itu hendaklah lebih cerah daripada bahasa asing," katanya.

Termuzi berkata PBT seharusnya memainkan peranan yang penting dan perlu menguatkuasakan undang-undang sedia ada dengan lebih serius.

Sementara itu, Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan yang turut menyuarakan pendapat yang sama berkata perkara tersebut tidak sewajarnya berlaku dan merupakan sesuatu yang amat dikesali.

"Dalam majlis bandaran dan kerajaan tempatan ada peraturan atau akta yang mana penggunaan bahasa Melayu mesti ada pada setiap papan iklan. Saya lihat ia (penggunaan bahasa asing) sebagai kelemahan kerajaan tempatan, PBT yang tidak menguatkuasakan akta yang telah diperuntukkan," katanya.

Beliau berkata tindakan tegas seharusnya dikenakan terhadap mana-mana pengiklan yang masih ingkar.

Selain itu, beliau berkata bahasa Melayu seharusnya menjadi bahasa perpaduan kerana ia mampu menyatukan ketiga-tiga kaum utama negara, dan pada masa yang sama memantapkan modul dan kurikulum mata pelajaran bahasa Inggeris di peringkat sekolah.


Tiada ulasan: