Jumaat, 20 Mei 2011

Akhbar haram: MB Selangor desak KDN siasat Adun Umno




KUALA LUMPUR — Menteri Besar Selangor menggesa Menteri Dalam Negeri mengambil tindakan tegas ke atas Adun Kuang dari Umno, yang mengaku secara terbuka memiliki dan mengedar Selangor Terkini secara haram akhir Februari lalu.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata, beliau telah menulis surat kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein agar bertindak tegas dengan segera ke atas wakil rakyat itu.

Sehubungan itu, Khalid mendesak Kementerian Dalam Negeri menjalankan siasatan kerana laporan kedua telah dibuat 6 Mei lalu terhadap ‘Selangor Terkini’ selepas dua individu ditangkap ketika mengedarkan akhbar tersebut secara terbuka.

“Saya mendesak kementerian mengambil tindakan segera terhadap YB Abdul Shukor Idrus kerana beliau sendiri sudah mengaku,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Shukor yang juga Ketua Penerangan Umno Selangor telah menafikan dakwaan Pakatan Rakyat Selangor, kononnya Umno negeri itu menerbitkan akhbar tersebut.

Akhbar itu dikatakan diterbit dan diedarkan oleh Umno sebagai tindakan melawan akhbar Selangor Kini kerajaan negeri.

Bagaimanapun, beliau telah mengedar akhbar yang senada dengan perjuangan Umno itu di salah satu program anjurannya akhir Februari lalu.

Dalam akhbar tersebut, beliau didakwa telah menabur fitnah dan cuba mengaburi pemikiran rakyat negeri dan mengecam pentadbiran Khalid.

Dalam kenyataan hari ini, Khalid juga berkata, Shukor telah mengaku secara terbuka memiliki dan mengedar 'Selangor Terkini', sekali gus melanggar Seksyen 5(1) dan (2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Perbuatan Shukor ini telah menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan kerana mengedar kalendar beliau bersama-sama Selangor Terkini yang didapati mengguna logo rasmi kerajaan Selangor tanpa kebenaran,” ujarnya lagi.

Khalid berkata, dalam surat dihantar kepada Hishammuddin, bertarikh 13 Mei lalu, beliau menyatakan kekesalan terhadap kementerian itu dan menterinya kerana tidak berbuat apa-apa walaupun laporan polis telah dibuat terhadap Shukor dan ‘Selangor Terkini’.

“Kegagalan Kementerian Dalam Negeri dan Hishammuddin menyiasat menyebabkan Peguam Negara tidak boleh bertindak termasuk mendakwa Shukor kerana tiada hasil siasatan dikemukakan untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Khalid juga berkata, dalam surat balas kepadanya bertarikh 21 Mac lalu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memaklumkan bahawa kementerian itu belum mengemukakan sebarang hasil siasatan untuk pertimbangan.

“Kegagalan Kementerian Dalam Negeri dan Hishammuddin bertindak secara efisien menyebabkan akhbar haram ini dicetak dan diedar di Selangor tanpa sebarang sekatan.

“Saya percaya ia didalangi orang yang sama kerana muka Adun Kuang terpampang di muka depan akhbar haram ini,” kata Menteri Besar.

Khalid sekali lagi mendesak Kementerian Dalam Negeri dan Hishammuddin menjalankan siasatan kerana laporan kedua telah dibuat pada 6 Mei lalu terhadap ‘Selangor Terkini’ selepas dua individu ditangkap ketika mengedarkan akhbar haram itu secara terbuka.

“Saya mahu Hishammuddin memainkan peranan sebagai Menteri Dalam Negeri dengan lebih berkesan, amanah, bertanggungjawab dan menjangkaui ideologi politik supaya keadilan dapat ditegakkan dan pihak yang didapati bersalah menerima hukuman setimpal,” kata Menteri Besar itu.

Tiada ulasan: