Khamis, 7 April 2011

Usul bincang kematian Saiful Syazani ditolak

MALAYSIA KINI

Dewan Rakyat hari ini menolak usul bagi membincangkan kes seorang murid sekolah agama di Perlis yang dipukul teruk oleh gurunya sehingga mati Ahad lalu.

Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee berkata usul itu ditolak kerana pihak polis sudah mula mengambil tindakan dengan membuat siasatan terperinci terhadap kes itu.

"Perkara ini melibatkan kematian seorang pelajar sekolah agama di Perlis, ia merupakan satu kes yang serius. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah ambil tindakan dan kes ini dalam siasatan yang terperinci.

"Oleh itu perkara ini tidak perlu disegerakan. Oleh yang demikian, saya menolak usul ini di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1)," katanya.

Terdahulu, Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) membentangkan usul berkenaan yang disifatkan sebagai satu tindakan oleh seorang guru yang kejam dan tidak berperikemanusiaan terhadap seorang anak yatim.

Dalam usulnya, Ismail turut meminta supaya kerajaan memberi tumpuan dan mengadakan satu mekanisme tertentu bagi memantau serta menilai guru di sekolah-sekolah khususnya di sekolah swasta bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang.

"Guru-guru yang ditempatkan di sekolah-sekolah persendirian termasuk sekolah agama perlu diperhalusi serta mekanisme penyeliaan oleh pihak kerajaan perlu dilakukan bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang.

"Selain itu (kerajaan) perlu turut beri tumpuan kepada perkara keselamatan dan perlindungan terhadap anak-anak kita di sekolah-sekolah di seluruh negara terutama yang dijalankan oleh pihak swasta dan persendirian," katanya.

Ahad lalu, seorang murid sekolah Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, yang dipukul oleh seorang guru di asrama sekolah agama rakyat itu sehingga koma, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Kejadian dikatakan berlaku pada pukul 7 malam Khamis lalu apabila seorang guru lelaki yang berusia 26 tahun dikatakan memukul kanak-kanak itu selama dua jam sehingga pengsan kerana disyaki mencuri wang murid lain di asrama.

Tiada ulasan: