Selasa, 12 April 2011

Tujuh posmen palsukan kad kredit dibuang kerja

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Tujuh posmen yang dilapor ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket pemalsuan kad kredit telah ditamatkan perkhidmatan berkuatkuasa serta merta, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Bhd Datuk Syed Faisal Albar.

Beliau yang juga Pengarah Urusannya berkata Pos Malaysia kesal dan memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab itu walaupun ia merupakan kes terpencil.

“Pos Malaysia Bhd sama sekali tidak akan bertolak ansur dengan kes-kes dan perbuatan salah laku atau merosakkan surat-surat dan item mel dan tidak memaafkan perbuatan yang tidak bertanggungjawab di kalangan kakitangan pos,” kata beliau dipetik Bernama Online hari ini.

Polis dilapor menahan 13 individu termasuk tujuh posmen dan seorang pembantu am Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pintasan dan pemalsuan kad kredit membabitkan kerugian hampir RM1 juta.

Kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan 25 dan 40 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial ibu pejabat polis daerah Cheras secara berasingan di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang, dari 1 hingga 9 April lalu.

Syed Faisal berkata, Pos Malaysia telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan terus membantu dalam siasatan mereka.

Kata beliau, Pos Malaysia akan meningkatkan usaha dalam memantau operasi pengendalian dan penghantaran surat secara berterusan serta meningkatkan langkah keselamatan bagi memastikan surat dihantar dengan selamat.

“Kami ingin meyakinkan masyarakat bahawa majoriti kakitangan posmen memiliki sifat taat serta berdedikasi dan menjalankan tugas dengan amanah,” katanya.

Tiada ulasan: