Selasa, 12 April 2011

Najib temu gereja Sarawak esok, dijangka sentuh isu Alkitab


KUCHING – Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin gereja Sarawak di sini esok – dilihat sebagai usaha Perdana Menteri untuk meredakan masyarakat Kristian berhubung isu Alkitab menjelang hari penentuan pilihan raya negeri, Sabtu ini.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengesahkan kepada pemberita perkara ini petang ini selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Gereja Sarawak bagi membincangkan isu Alkitab.

“Perdana Menteri (gambar) akan bertemu dengan mereka esok, jadi anda boleh tanya beliau soalan-soalan anda,” kata Taib kepada pemberita di Hotel Pullman di sini.

Pengerusi persatuan Rt Reverend Datuk Bolly Lapok kemudian memberitahu pemberita bahawa pertemuan itu akan diadakan di Hotel Hilton di sini, pukul 3.30 petang.

Ketika ditanya isu-isu yang akan dibangkitkan esok, Bolly berkata beliau tidak tahu tujuan pertemuan tersebut.

“Saya tidak tahu apa yang akan dibincangkan tetapi beliau menjemput kami untuk datang dan kami akan berada di sana esok,” katanya.

Esok, adalah hari keempat Najib mengetuai kempen BN Sarawak pada pilihan raya negeri ke-10 yang dilihat sengit ini.

Najib dijadual untuk berada di Sarawak sehingga Jumaat ini.

BN pimpinan Najib berhadapan dengan tekanan besar khususnya daripada kalangan masyarakat Cina yang merangkumi sekurang-kurangnya 50 peratus daripada 979,796 pengundi berdaftar.

Pada pertemuan dengan persatuan itu hari ini, Taib dilaporkan memberitahu pemimpin-pemimoin gereja bahawa soal politik dan agama seharusnya ditangani secara berasingan.

Beliau berkata pertikaian berkaitan dengan Alkitab juga dianggap sudah selesai ekoran penyelesaian 10 formula yang diumumkan 2 April lalu dan melepaskan 35,100 naskhah kitab Injil versi Bahasa Malaysia itu yang ditahan Kementerian Dalam Negeri.

Tiada ulasan: