Khamis, 7 April 2011

Samy Vellu terima elaun, gaji RM27,227

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR— Duta Khas ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S. Samy Vellu menerima gaji dan elaun sebanyak RM27,227.20 sebulan.

Malah seramai enam orang kakitangan telah diperuntukkan untuk bertugas di pejabat Duta Khas yang terletak di Tingkat 25, Plaza Sentral, KL Sentral.

Bekas presiden MIC itu dilantik sebagai Duta Khas bertaraf menteri akhir Disember lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata peranan dan tanggungjawab Samy Vellu tidak bertindih dengan tugasan rasmi pegawai kerajaan yang lain kerana tugas beliau hanya tertumpu pada bidang infrastruktur di Asia Selatan sahaja.

Katanya, rasional mewujudkan jawatan itu adalah untuk meningkatkan penglibatan syarikat-syarikat Malaysia dalam pembangunan infrastruktur di India dan Asia Selatan.

“Oleh kerana negara-negara di Asia Selatan, terutamanya India, sedang mengalami pembangunan ekonomi yang pesat, keperluan infrastruktur yang berkualiti adalah amat penting untuk menyokong pembangunan ekonomi tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Lim Lip Eng (DAP-Segambut).

Bernama Online menyebut Lim mengemukakan soalan mengenai rasional diwujudkan jawatan Duta Khas dan lingkungan kerja, lokasi pejabat, kakitangan serta gaji atau elaun yang diberikan.

Menurut Nazri, tugas Duta Khas itu adalah mengenal pasti projek-projek infrastruktur di Asia Selatan yang sesuai dengan kelayakan dan kebolehan syarikat-syarikat Malaysia.

Seterusnya, Duta Khas akan menggerakkan peranan untuk mewujudkan peluang-peluang yang baik bagi syarikat-syarikat tersebut untuk mengambil bahagian dalam projek-projek itu mengikut undang-undang dan peraturan tempatan.

Tiada ulasan: