Selasa, 26 April 2011

Anwar : Pendakwa Mahu Hakim Terima Bukti Rekayasa Dan Tidak Logik

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan tindakan Umno bersekongkol dengan Peguam Negara merekayasa bukti yang menempelak fakta saintifik semata-mata untuk mensabitkan pertuduhan liwat terhadap beliau.

Ketua Pendakwaraya Yusuf Zainal Abidin hari ini menggesa mahkamah tidak menolak bukti air mani walaupun ia hanya diuji 96 jam atau empat hari selepas pengadu Saiful Bukhari Azlan membuat tuduhan fitnah itu.

Fakta saintifik yang diakui umum adalah jangka hayat sperma manusia hanya bertahan 72 jam, itupun jika disimpan dalam peti sejuk.

Dalam kes Anwar, pegawai penyiasat Jude Pereira mengesahkan beliau tidak menyimpan sampel itu di peti sejuk tetapi dalam laci di pejabatnya.

Anwar kesal dengan tindakan pendakwaraya mengenepikan fakta tersebut dan mahu hakim untuk menerima bukti yang direkayasa.

"Sementara ini, nampaknya pendakwa menjadi alat politik Umno. Memainkan isu sperma (air mani) walaupun keterangan dalam mahkamah terbukti yang dikatakan mani itu, 96 jam tidak berada dalam peti sejuk dan dalam mana-mana dokumen sains tidak boleh bertahan. Tapi semua itu dipadamkan supaya jadi isu politik murahan," jelas Anwar

Bercakap kepada pemberita selepas selesai menghadiri sesi penghujahan kes fitnah kedua hari ini, Anwar menjelaskan sperma yang ditemui pada Saiful 26 Jun 2008 hanya diserahkan kepada Jabatan Kimia Malaysia empat hari kemudian iaitu pada 30 Jun tahun yang sama.

Justeru beliau menyifatkan tindakan mengaitkan dirinya dengan "Lelaki Y" seperti yang diberitahu pendakwa semalam merupakan cara untuk Perdana Menteri Najib Razak dan Umno-Barisan Nasional (BN) mempertahankan kedudukan mereka.

Anwar seterusnya mengingatkan agar Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah tidak tunduk kepada tekanan politik sekaligus mampu mengabaikan fakta dan undang-undang semata-mata untuk menamatkan karier politik beliau.

"Tapi perkara ini diketepikan sama sekali dan saya harap ianya tidak diketepikan oleh undang-undang dan fakta oleh hakim. Namun setakat yang saya faham Umno hanya boleh bertahan dengan menggunakan media mereka untuk memburukkan tanpa mengambil kira etika, moraliti, fakta atau undang-undang," katanya lagi.

Hakim Zabidin menetapkan 16 Mei sebagai tarikh penentuan sama ada Anwar harus dipanggil untuk membela diri atau membebaskan beliau daripada tuduhan liwat yang dikenakan terhadapnya.

Peguam Karpal Singh dalam hujahnya semalam berkata pendakwaraya gagal membuktikan wujudnya kes terhadap Anwar memandangkan terdapat banyak keraguan yang ditimbulkan berdasarkan keterangan saksi dan bahan bukti.

Tiada ulasan: