Rabu, 13 Oktober 2010

Umno-BN Cadang Serah Konsesi Lebuhraya Kepada Syarikat Kroni

Oleh Norasikin Samsi

TP2KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan sama ada tender terbuka menjadi kriteria utama dalam pemberian kontrak kerajaan khususnya berhubung kertas cadangan pemberian kontrak secara rundingan terus pembinaan lebuhraya yang baru.

Tuntutan itu menurutnya berdasarkan penilitian beliau yang mendakwa pembinaan lebuhraya terbabit dijalankan tidak telus sepertimana yang dinyatakan oleh kerajaan.

Terdahulu, akhbar bisnes 'The Edge Financial Daily melaporkan empat lebuhraya bertol dicadangkan di Semenanjung dan dijangka dibentangkan dalam Belanjawan 2011 oleh Perdana Menteri Jumaat ini.

Menurut Tony, laporan itu menyatakan PLUS Expressways Bhd akan dilantik sebagai pemegang konsesi lebuhraya itu manakala Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan mengendalikan dua lebuhraya yang lain.

Lebuhraya yang akan dikendalikan oleh PLUS ialah dari Sungai Dua ke Juru di Pulau Pinang dan dari Kinrara ke Damansara di Lembah Klang manakala lebuhraya di bawah kendalian PNB ialah dari Ampang ke Cheras dan dari Damansara ke Sungai Buloh.plaza-tol

"Perkara ini adalah sesuatu yang mengejutkan dan apa yang lebih penting tidak nampak sebarang tanda bahawa projek-projek ini ditawarkan secara tender terbuka dan berasaskan daya saing seperti yang dijanjikan di bawah Model Baru Ekonomi (MEB).

"Kita tidak perlu melihat kepada MEB untuk mengetahui bahawa Perdana Menteri benar-benar mengetahui mengenai kesan negatif seperti pengurusan yang lemah ekoran dari langkah pemberian kontrak swasta secara terus.

"Malah Najib pada Forum Ekonomi Jeddah 2007 kepada para pelabur asing ketika beliau Timbalan Perdana Menteri, beliau telah menggariskan beberapa isu yang menjadi pengajaran kepada Malaysia dari program pengswastaan sejak 1980-an.

"Bukan setakat pembelian pen dan kertas, tapi lebih penting ialah semua projek mega yang ditawarkan dan berselindung di sebalik inisiatif kewangan awam (PFI – Public Finance Initiative) atau perkongsian awam-swasta (PPP – Public-Private Partnership)," katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen semalam.

Tony juga menasihati secara khusus supaya tidak mengikut pendekatan 'yang dahulu didahulukan, yang kemudian dikemudiankan'.

"Najib mengakui bahawa pengalaman kita menunjukkan bahawa dengan memberi keistimewaan atau eksklusif kepada satu-satu pihak berpotensi untuk mengakibatkan kos meningkat dan ini akan membebankan pengguna serta pembayar cukai.

"Walaupun beliau (Najib) mengakui tentang hal ini, namun beliau belum mengotakan apa yang dikatakan.

"Ini merupakan pengakuan secara terbuka bahawa dasar pengswastaan negara gagal dari beberapa aspek sejak ianya diperkenalkan pada 1980an.

"Persoalannya, ketika Najib petah mengkritik dasar pengswastaan kita di depan sekumpulan para pelabur antarabangsa, adakah beliau telah atau akan mempraktis apa yang beliau ucapkan dalam MEB?" soal beliau lagi.

Dalam pada itu, Tony juga turut mendakwa kerajaan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat bagi meningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan kos sara hidup sekiranya pembinaan lebuhraya tersebut dilaksana.

Malahan katanya, 'layanan istimewa' yang diberi kepada golongan yang kurang bernasib baik dari segi ekonomi, perlu ada persaingan yang secukupnya di kalangan mereka sendiri.

"Hanya mereka yang mempunyai kemahiran yang sesuai, berkeupayaan dan memiliki sumber dan dana yang mencukupi sahaja yang harus dipilih," jelas Tony lagi.

Tiada ulasan: