Sabtu, 16 Oktober 2010

Tony Cabar Najib Dedahkan Laporan Kewangan 1MDB

Oleh Suara Keadilan

TP1SHAH ALAM - Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mempersoalkan sejauh mana kebenaran dakwaan Perdana Menteri bahawa modal permulaan RM5 bilion di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), 1MDB telah mencatat keuntungan bersih RM425 juta atau pulangan 8.5 peratus bagi tahun kewangan pertamanya berakhir 31 Mac 2010.

Tony berkata antara persoalan yang timbul daripada dakwaan Datuk Seri Najib Razak ialah samada keuntungan yang diperolehi datangnya daripada pelaburan yang dibuat atau pun ianya sekadar hasil suntikan aset ke dalam syarikat tersebut.

"Umpamanya seperti yang dilaporkan dalam akhbar The Star, kerajaan akan menyerahkan tanah bernilai tinggi yang kini menjadi pangkalan udara Tentera Udara DiRaja Malaysia kepada 1MDB dan tindakan ini seperti peralihan dari tangan kiri ke tangan kanan.

"Ini bermakna 1MDB mendapat tanah ini secara percuma daripada kerajaan. Isunya, adakah 1MDB menganggap penerimaan bidang tanah ini sebagai "pendapatan" dan kalau benar berapakah nilai sebenar tanah tersebut. Secara hipotetikal, jika nilainya RM1 bilion maka tanpa "geran" ini, 1MDB telah mengalami kerugian RM575 juta dan bukan sebaliknya," jelas Tony dalam satu kenyataan Sabtu lalu. logo_1mdb

Beliau menegaskan penilaian prestasi sesebuah syarikat bukan hanya berdasarkan angka "keuntungan" tetapi hendaklah dikaji dalam konteks nota kaki, perincian seumpama membeli sebuah kereta yang cantik tanpa menilai prestasi enjinnya.

Tambah Tony, beliau merasa kesal sejak dua sesi sidang Dewan Rakyat yang lalu, soalannya berhubung kemaskini pelaburan dan prestasi 1MDB termasuk kedudukan kewangannya seperti jumlah aset, liabiliti serta pulangan ke atas ekuiti tidak di layan.

"Pada masa itu jawapan yang diberi ialah 1MDB baru ditubuhkan oleh kerana iu prestasi dan data kewangan masih belum tersedia.

"Pada sidang kali ini saya kemukakan sekali lagi dan tidak ada sebab mengapa Perdana Menteri tidak boleh berikan semua butiran mengenai pelabutan 1MDB kerana beliau sudah berbangga dengan keuntungan dana tersebut. Sudah tentunya beliau tidak ada apa yang hendak disembunyikan," ujar beliau.

Sehubungan itu Tony menggesa seluruh maklumat kewangan 1MDB dipaparkan dalam laman sesawang syarikat itu bagi kajian ahli parlimen pada sidang Parlimen bermula hari ini.

Tiada ulasan: