Isnin, 25 Oktober 2010

Termasuk seorang balu parti utama selesai umum calon Galas, Batu Sapi

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER


Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kiri) mengangkat tangan calon parti itu bagi pilihan raya kecil Batu Sapi, Ansari Abdullah (tengah). Turut sama (dari kiri) Pengerusi DAP Sabah Dr Hiew King Cheu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Naib Presiden PKR Azmin Ali. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR — Empat parti politik utama selesai mengumumkan nama bakal calon masing-masing termasuk seorang wanita untuk bersaing pada pilihan raya kecil serentak di Galas dan Batu Sapi.

Buat pertama kali, pilihan raya kecil sejak Mac 2008 menyaksikan seorang calon wanita diturunkan oleh parti politik utama.

Barisan Nasional (BN) meletakan sandaran pada Timbalan Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) Elopura Datin Linda Tsen Thau Lin sebagai calonnya bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi.

Tsen, 54, merupakan balu kepada penyandang kerusi itu yang meninggal dunia awal bulan ini.

Datuk Edmund Chong Ket Wah iaitu penyandang kerusi Parlimen Batu Sapi meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lepas.

Pengumuman Tsen dibuat oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman bersama pemimpin komponen BN Sabah pada sidang akhbar di Hotel Sanbay, Sandakan 3 petang tadi.

Semalam, SAPP pula memilih presidennya Datuk Yong Teck Lee sebagai calon pilihan raya kecil berkenaan.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Batu Sapi dan kerusi Dewan Undangan Negeri Galas akan diadakan Selasa ini dan pengundian 4 November.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Ansari Abdullah dipilih sebagai calon Pakatan Rakyat untuk bersaing dengan Tsen.

Pengumuman pemilihan Ansari sebagai calon pilihan raya kecil itu dibuat oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Hakka, Sandakan.

Ansari, seorang peguam kanan profesional, juga merupakan ketua cabang PKR Tuaran.

Beliau mengakui pilihan raya kecil Batu Sapi kali ini adalah sengit, namun yakin mampu memberi saingan kepada BN berdasarkan jumlah undi yang diperoleh pada pilihan raya umum ke-12.


Calon BN kerusi Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin dipeluk penyokongnya pada majlis pengumuman calon di Sandakan hari ini. - Foto Bernama
Pengumuman juga menyaksikan bagi pilihan raya kawasan DUN Galas.

Selepas tiga hari, hari ini BN menamakan Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff akan membawa cabaran perikatan tersebut.

Aziz menganggap pemilihannya sebagai calon BN pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas bukan anugerah sebaliknya satu tanggungjawab yang perlu dipikul dengan baik.

Aziz, 49, berkata beliau tidak akan mampu membawa kemenangan kepada BN jika tidak mendapat sokongan daripada semua pihak.

Justeru beliau mengharapkan semua pihak agar redha dengan pemilihannya dan berkerjasama bagi merampas kembali kerusi DUN itu.

“Saya redha dengan ketetapan ini (terpilih sebagai calon) dan saya harap semua pihak juga redha.

“Tetapi saya bukan faktor utama untuk mencapai kemenangan, saya memerlukan sokongan daripada semua,” katanya ketika berucap selepas diumum sebagai calon kerusi DUN Galas oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Gua Musang kira-kira 3 petang tadi.

Aziz, dari Kampung Bertam Baru, Gua Musang dan juga bekas pengurus pejabat operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu berkata beliau hanya mengetahui namanya dipilih sebagai calon pagi ini.

Sementara itu, Tengku Razaleigh meminta anggota Umno dan BN bersatu hati dalam memberikan sokongan kepada calon yang dipilih.

“Kita mahu kemenangan besar, bagilah sokongan bulat kepada calon yang dipilih,” katanya. Beliau berkata pilihan raya kecil itu perlu dijadikan sebagai titik permulaan untuk mengubah negeri Kelantan untuk masa depan yang lebih baik.

Aziz akan berhadapan dengan saingan Dr Zulkefli Mohamad dari PAS, calon yang pernah bertanding di kerusi Parlimen Gua Musang pada 2004 dan 2008.


Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff diisytihar sebagai calon BN bagi kerusi DUN Galas hari ini. - Foto Bernama
Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya yakin calon mereka mempunyai kelebihan pada pilihan raya kecil Galas walaupun pernah dua kali tewas ketika bertanding kerusi Parlimen Gua Musang menentang Tengku Razaleigh sebelum ini.

Hadi memberitahu, kali terakhir bertanding kerusi Parlimen Gua Musang iaitu pada pilihan raya umum 2008, undi yang diperoleh Dr Zulkefli di DUN Galas melebihi undi tokoh veteran Umno itu.

Selain calon parti-parti utama, kedua-dua pilihan raya kecil ini dijangka akan menyaksikan cabaran calon Bebas.

Hari ini, kerajaan negeri Kelantan mengumumkan 4 November iaitu Khamis depan sebagai hari cuti peristiwa sempena pilihan raya kecil Galas.

Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias menerusi surat pekeliling arahan pentadbiran kepada Bernama di sini hari ini.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Che Hashim berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

Dalam pada itu, Chong memenangi kerusi tersebut setelah menewaskan calon Bebas Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708. Mendiang memperoleh 9,479 undi manakala Chung meraih 5,771 undi.

17 ulasan:

madd berkata...

calon-calon yang ingin bertanding telah pun diketahui. rakyat perlu memilih calon berdasarkan kebolehan dan kesediaan mereka dalam membantu rakyat.

Leo berkata...

All the best to all candidates. May the best man win!

Anak Sabah berkata...

Diharapkan pilihan raya kecil ini akan berjalan lancar, adil dan bersih. Semoga berjuang semua calon yang bertanding.

Tanpa Nama berkata...

setiap parti telah memilih calon terbaik untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Galas dan Batu Sapi. rkyat pula akan memilih calon yang terbaik di kalangan mereka untuk menjadi pemimpin.

Antanum berkata...

Semoga semua calon yang bertanding berkelayakkan dan mengetahui banyak tentang batu Sapi dan Galas.

evan medhousky berkata...

dalam dua PRK ini kita boleh lihat BN berusaha merealisasikan slogan transformasi kepimpinan dengan memberi ruang kepada calon muda di Galas dan calon wanita di Batu Sapi. samada calon yang diketengahkan ini tepat atau tidak, terpulang kepada rakyat untuk tentukan.

evan medhousky berkata...

saya harap pengundi Batu Sapi dan Galas tidak mudah terpedaya dengan janji mana2 parti yang bertanding. untuk kebaikan penduduk Batu Sapi dan Galas, pilihan mestilah berdasarkan prestasi dan kemampuan parti, bukan berdasarkan janji2 yang belum tentu boleh mereka tunaikan atau boleh dipertikaikan.

Hosie Masie berkata...

BN mesti dapat mempertahankan dan menawan kawasan PRK Batu Sapi dan Galas ini nanti. Semoga berjaya.

Sanih Alias berkata...

Buat yang terbaik kepada calon-calon yang bertanding nanti. Batu Sapi mesti akan dapat mempertahankan kerusi tersebut. Kita mengharapkan Galas akan menjadi milik BN nanti.

azman berkata...

semua calon yang bakal bertanding telah pun diketahui. kepada semua, lakukanlah yang terbaik untuk rakyat.

Mahsiran berkata...

Jangan ingat beliau perempuan tidak ada pengaruh. Saya yakin Datuk Linda pasti akan dapat menewaskan dua parti pembangkang, YTL dan Ansari. Datuk Linda akan cuba mempertahankan Batu Sapi dari pembangkang dan akan meneruskan kerja suami beliau.

Tanpa Nama berkata...

semua yang bertanding ini mempunyai strategi untuk menghadapi piliharaya ini. apapun harap ia piliharaya ini akan berjalan dgn lancar. pilihlah calon yang terbaik.

Paquin berkata...

Saya tak sabar mahu tau siapa yang menang oo..

Paquin berkata...

All the best kepada semua calon yang bertanding terutamnya Datin Linda:)

Paquin berkata...

Semoga para pengundi akan membuat pilihan yang betul. Jangan sia-siakan undian anda:)

Paquin berkata...

PRK di BS pasti sengit.. Saya harap semuanya berjalan lancar dan harmoni.

Paquin berkata...

Semoga BN berjaya mempertahankan kedudukan mereka.