Rabu, 13 Oktober 2010

Suara Malaysia tidak dilayan di peringkat dunia


dr-hayati Oleh Muda Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Seorang ahli parlimen pembangkang mendakwa banyak tuntutan dan cadangan Malaysia kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) tidak dilayan.

Dr Hayati Othman (PAS-Pendang) berkata, seolah-olah penghantaran pasukan pengaman Malaysia di luar negara di bawah mandat kedua-dua pertubuhan itu tidak diiktiraf.

"Pasukan pengaman Malaysia telah berkhidmat di Bosnia di bawah PBB dan satu lagi di sempadan Israel-Lebanon di bawah pengawasan OIC.

"Di Bosnia, pasukan pengaman negara meminta PBB melengkapkan senjata kerana tentera Serbia menggunakan senjata moden menyembelih penduduk Islam tempatan.

"Begitu juga di Lebanon, tentera pengaman Malaysia mahu dilengkapkan lebih banyak senjata. Tetapi permintaan tersebut tidak dilayan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Pasukan maritim antarabangsa

Dr Hayati berkata, selain itu Malaysia pernah mencadangkan kepada PBB supaya menubuhkan pasukan maritim antarabangsa bagi memerangi lanun di Teluk Aden.

Bagaimanapun, dakwanya cadangan Malaysia itu juga tidak dilayan.

"Bayangkan ketika Malaysia menjadi pengerusi OIC dan Pertubuhan Negara Berkecuali (NAM) cadangan dan usul Malaysia tidak dilayan.

"Saya ingin tahu apakah rancangan kerajaan Malaysia supaya suara Malaysia didengari di peringkat PBB?" soal beliau.

Dalam jawaban di sidang parlimen, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Latiff Ahmad berkata, Malaysia menghantar tujuh misi pengaman sejak tahun 1960an.

"Misi pengaman ini melibatkan lebih 20,000 pegawai dihantar ke seluruh dunia. Kerajan membelanjakan RM50 juta bagi setiap misi.

"Bagaimanapun, kos operasi itu dibayar oleh PBB," katanya.

Dr Latiff berkata, beliau sendiri tidak jelas mengenai rancangan kerajaan supaya suara Malaysia didengar di peringkat PBB.

Tiada ulasan: