Selasa, 26 Oktober 2010

Projek MRT, HSR dijangka mula dalam 18 bulan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Projek pembinaan transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) akan dimulakan pada suku kedua tahun depan manakala laluan rel berkelajuan tinggi (HSR) menghubungkan Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Singapura dijangka bermula awal 2012.

Kedua-dua projek itu yang akan menelan kos RM64 bilion adalah sebahagian daripada projek yang kerajaan berharap akan membantu Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2020.

Ia juga sebahagian daripada projek yang akan dilaksanakan di bawah program Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilancarkan hari ini.

Turut digariskan dalam ETP ialah loji tenaga nuklear dan empangan-empangan kuasa elektrik yang akan menelan kos RM20 bilion lagi.

Menurut pelan rangka ETP, fasa satu sistem MRT disasar memulakan operasi pada 2016.

Ia akan merangkumi laluan sejauh 156 kilometer, meliputi kawasan lingkungan 20 kilometer dari pusat bandar dan mempunyai kapasiti membawa dua juta penumpang setiap hari.

Kabinet juga akan memutuskan sama ada mahu meneruskan sistem HSR yang menghubungkan Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Singapura pada suku kedua tahun depan, demikian menurut pelan rangka ETP itu.

Kos pembinaan kedua-dua projek itu akan melibatkan pelaburan sektor awam dan swasta dengan nisbah masing-masing 70:30.

Jika pembinaan HSR bermula tahun depan bermakna ia akan memulakan operasi pada 2016 juga.

Perkhidmatan HSR akan memakan masa perjalanan kira-kira 2.4 jam berbanding tiga jam menggunakan pesawat, demikian menurut Makmal Greater KL bulan lalu.

The Malaysian Insider melaporkan Jun lalu bahawa sebuah parti komponen Barisan Nasional telah mengemukakan cadangan untuk membina laluan rel berkelajuan tinggi ke Singapura, yang menelan kos RM8 hingga RM10 bilion, atas dasar usaha sama membabitkan parti-parti komponen lain.

Syor YTL beberapa tahun lalu untuk membina rel berkelajuan tinggi ke Singapura menemui kegagalan.

Dalam ucapan Bajet 2011 pada 15 Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, sistem MRT di Lembah Klang akan dilaksanakan mulai tahun hadapan.

Projek ini dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2020 dan akan menambah kadar kepenggunaan pengangkutan awam sekurang-kurangnya 40 peratus.

Projek MRT dijangka menyediakan pengangkutan awam yang efisien dan selesa serta pengguna dapat menuju ke destinasi dengan pantas, kata beliau

Tiada ulasan: