Selasa, 12 Oktober 2010

PRK Galas: PR mahu kempen bersih dan adil


kamaruddin Oleh Muda Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat hari ini mahu Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Dun Galas, Tengku Razaleigh Hamzah mewujudkan suasana kempen secara bersih dan adil.

Pemimpin PAS dan PKR berkata, ini selaras dengan kehendak ahli parlimen Gua Musang itu semasa beliau mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden Umno pada tahun 1987.

Ahli Jawatankuasa PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, sebagai pengarah pilihan raya, bekas menteri kewangan itu boleh memastikan Umno tidak menggunakan jentera kerajaan berkempen di situ.

"Kita tidak mahu jentera kerajaan digunakan untuk menarik sokongan pengundi. Kita tidak mahu BN menjanjikan projek untuk mereka.

"PAS mahu satu pilihan raya yang bersih dan adil. Jangan menabur janji kepada pengundi, biar mereka memilih dengan bebas," katanya ketika ditemui di lobi parlimen semalam.

Kamaruddin yang juga ahli parlimen Tumpat, Kelantan berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan Tengku Razaleigh atau lebih mesra dipanggil Ku Li sebagai pengarah pilihan raya BN untuk Galas.

Pelantikan itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

PRK Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima dari PAS akhir bulan lalu. Suruhanjaya Pilihannraya (SPR) menetapkan 26 Oktober ini bagi hari pernamaan calon dan 4 November hari mengundi.

"Beliau (Ku Li) mencabar (perdana menteri pada ketika itu) Dr Mahathir agar berkempen secara adil dan bersih ketika mencabar Dr Mahathir untuk jawatan presiden Umno pada 1987. Kini tiba masanya beliau juga berbuat demikian," kata Kamarudin.

Ku Li kalah tipis menentang Dr Mahahir dan akhirnya beliau keluar Umno dan menubuhkan Semangat 46. Beliau membubarkan Semangat 46 selepas pilihan raya umum 1996 dan menyertai semula Umno.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh mengalu-alu dan menyokong satu pilihan raya yang adil dan bebas di Galas.

"Kita (Pakatan Rakyat) mahu sebuah padang yang sama rata. Ini bermakna kerajaan pusat tidak boleh menjanjikan projek kepada pengundi Galas," katanya.

Tiada ulasan: