Selasa, 19 Oktober 2010

Orang Asli kecewa Speaker tolak usul hak keistimewaan


54eb77815aec6abc85ffd3388b2071ee Oleh Jamilah Kamarudin

KUALA LUMPUR: Sekumpulan Orang Asli yang hadir ke Parlimen hari ini kecewa apabila Dewan Rakyat menepikan usul tergempar bagi membincangkan mengenai kedudukan Orang Asli dalam perlembagaan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat.

Usul itu dibawa oleh Ahli Parlimen Telok Kemang Datuk Kamarul Baharin Abas namun ditolak Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia atas alasan mahu memberi laluan terhadap peraturan mesyuarat lain.

Naib Presiden Orang Asli Malaysia Simpan Suda berkata, kehadirannya bersama 28 Orang Asli yang lain sebagai pemerhati Parlimen hari ini untuk melihat dewan berbahas mengenai hak keistimewaan suku kaum mereka kecewa apabila Speaker terus menolak usul tersebut.

Katanya, sehingga kini Orang Asli berjuang mahu menuntut pengiktirafan sebagai Bumiputera berdasarkan takrifan seperti yang termaktub dalam Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dan mahu kedudukan istimewa setaraf dengan Bumiputera seperti dalam Perkara 153.

"Sudah lebih 50 tahun merdeka, tapi masyarakat Orang Asli jauh ketinggalan dalam pelbagai sektor, malah kami terus ditindas dan tanah kami dirampas kerajaan atas alasan pembangunan negara.

"Kita mahu Orang Asli diiktiraf dalam Perlembagaan untuk pertahankan hak-hak kami, bukan kita minta dimansuhkan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Fasal (2) Perkara 160 hanya menafsirkan mengenai masyarakat Orang Asli Semenanjung Tanah Melayu tetapi tidak menjamin sebarang hak keistimewaan kaum minoriti tersebut.

Ditanya mengenai insiden dihalang daripada memasuki Parlimen pagi tadi, Simpan berkata berlaku salah faham apabila pihak polis menerima maklumat palsu bahawa akan ada sehingga 300 masyarakat Orang Asli yang mahu berhimpun di perkarangan Parlimen untuk melakukan demonstrasi.

"Kami tidak pernah merancang untuk buat sebarang tunjuk perasaan depan Parlimen mahu pun penyerahan sebarang memorandum. Kami hanya datang 28 orang sahaja atas jemputan Pakatan Rakyat untuk jadi wakil pemerhati, bukan 300 orang.

"Saya percaya ada unsur sabotaj yang mahu menghalang kami daripada memasuki Parlimen," katanya.

Mahu sokong calon Galas (PRK)

Sementara itu, Simpan berkata pihaknya akan menyokong penuh jika calon yang diletakkan dalam pilihan raya kecil Galas nanti adalah wakil masyarakat minoriti itu.

"Ya, kami semua akan turun ke Galas dan sokong penuh jika PAS letakkan calon Orang Asli sebagai wakil Galas nanti.

"Walaupun mengharapkan agar wakil kami dicalonkan supaya suara kami dapat didengari, kami tetap menghormati keputusan kerajaan negeri atau PAS jika mahu meletakkan sendiri calon lain," katanya

Tiada ulasan: