Selasa, 12 Oktober 2010

Mafrel hantar sukarelawan pantau PRK Galas

FREE MALAYSIA TODAY

Syed Ibrahim Syed Noh.jpg PETALING JAYA: Pilihan Raya Bebas dan Adil untuk rakyat Malaysia (Mafrel) mengumumkan akan menghantar para sukarelawan untuk memantau dan memerhati pilihan raya kecil (PRK) Dun Galas pada 4 November ini.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, "para sukarelawan akan dihantar untuk memerhati hari penamaan calon pada 26 Oktober ini dan juga hari mengundi 4 November."

"Ketika berkempen, para pemerhati dari negeri Kelantan akan memantau dengan dekat cara berkempen oleh parti-parti yang terlibat. Kesemua sekali, Mafrel akan menghantar 20 pemerhati di semua pusat mengundi di Galas," katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau berkata, "keputusan Mafrel untuk hadir ketika PRK N45 Galas berlangsung adalah konsisten dengan objektif dan tanggungjawabnya untuk melindungi hak pengundi dengan memastikan ianya berjalan dengan bebas dan adil.

"Kami ingin memastikan para pengundi diberi peluang untuk menggunakan hak mereka tanpa perasaan takut dan bebas dari sebarang bentuk tekanan atau ikatan.

Menurut beliau, Mafrel akan menulis surat secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memohon supaya menerima semula Mafrel sebagai pemerhati bebas ketika berlangsungnya PRK Galas nanti.

Pemerhati bebas

"Permohonan ini dibuat berikutan perkembangan terbaru dan kemajuan yang dicapai berhubung status Mafrel sebagai Pemerhati Pilihan Raya Bebas dan Akreditasi SPR," tambahnya.

Syed Ibrahim berkata, Mafrel telah memenuhi permintaan SPR dengan menghantar laporan-laporan yang tertangguh dan berharap SPR sedia menimbang semula Mafrel sebagai badan pemerhati bebas.

Ujar beliau, "Mafrel merasakan bahawa keputusan SPR menggugurkan Mafrel dari tugas memantau dan memerhati pilihan raya kecil di Hulu Selangor dan Sibu adalah kerana kegagalan Mafrel menyerahkan laporan-laporan pemerhatian.

"Oleh kerana laporan-laporan itu telah diserahkan maka kami merasakan tindakan SPR menggugurkan peranan Mafrel tidak lagi sesuai," katanya.

Mafrel katanya, juga memandang berat dengan keputusan SPR menetapkan hari mengundi pada hari bekerja kerana ia akan menyebabkan jumlah mereka yang datang mengundi berkurangan.

Tiada ulasan: