Selasa, 26 Oktober 2010

Laporan Audit Negara bidas pengurusan perbelanjaan MSN

FREE MALAYSIA TODAY

1 general report 2PETALING JAYA: Laporan Ketua Audit Negara 2009 yang terbit hari ini mengkritik had kawalan perbelanjaan Majlis Sukan Negara (MSN) tahun lalu yang berada di tahap kurang memuaskan.

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dipetik dalam laporannya berkata, melalui rekod buku daftar bil dan penyata menunjukkan tahap pemantauan kawalan peruntukan dan perbelanjaan tidak memuaskan termasuk urusan perbelanjaan yang digunakan secara tidak berhemah.

"Pengurusan MSN perlu menyemak semula had kuasa perbelanjaan. Buku vot, buku daftar bil dan penyata penyesuaian hendaklah diselenggarakan dengan lengkap dan dikemaskini.

"Ini bertujuan memantau kawalan peruntukan perbelanjaan. Semakan setiap bulan oleh pegawai yang bertanggungjawab hendaklah dilakukan bagi menunjukkan kawalan dalaman yang teratur dan urusan perbelanjaan yang berhemah," katanya.

Berikutan itu, pihaknya mencadangkan agar MSN perlu melantik Jawatankuasa Sebut Harga untuk membuat keputusan sebut harga bagi memastikan pemantauan dilaksanakan terhadap urus setia perolehan di Pusat Tanggungjawab.

Pengurusan aset

Selain itu, laporan dalam sektor pengurusan kewangan dan aktiviti serta pengurusan syarikat subsidiari badan berkanun persekutuan itu juga membidas mengenai pengurusan aset dan stor MSN yang kurang memuaskan.

Katanya, penyelenggaraan buku log kenderaan, serta pemeriksaan kenderaan secara berkala perlu dilakukan mengikut jadual bagi meningkatkan keupayaan penggunaannya.

"Jawatankuasa Pengurusan Aset perlu ditubuhkan bagi merancang, menyelia dan memantau aset alih MSN," katanya.

Begitu juga dengan kawalan terhadap pendahuluan diri dan pendahuluan pelbagai yang kurang memuaskan.

Laporan itu berkata MSN hendaklah memastikan pendahuluan diri hanya boleh diberi kepada pegawai sekiranya tiada baki pendahuluan diri yang belum dijelaskan oleh pegawai tersebut.

Pemotongan gaji pegawai

"MSN perlu membuat pemotongan gaji pegawai yang tidak mengemukakan baki pendahuluan diri yang perlu dibayar mengikut tempoh yang ditetapkan," katanya.

Laporan itu turut mempersoalkan mengenai penghantaran wakil MSN ke mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun (JPKA) peringkat Kementerian Belia dan Sukan namun didapati JPKA tidak pernah wujud dalam MSN.

Sehubungan itu, Ambrin mencadangkan agar latihan berkaitan pengurusan kewangan hendaklah ditekankan terutamanya kepada pegawai MSN bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kakitangannya.

Secara keseluruhannya, Ambrin berkata kedudukan kewangan MSN pada akhir tahun 2008 adalah sederhana.

"Kedudukan nilai aset berjumlah RM404.89 juta dengan aset semasa berjumlah RM56.49 juta mampu menanggung liabilitinya berjumlah RM35.51 juta.

"Ini ditunjukkan melalui nisbah kecairan 1.59:1 dan dana terkumpul berjumlah RM234.65 juta," katanya.

Tiada ulasan: