Rabu, 20 Oktober 2010

IGP belum puas hati mutu siasatan

BERNAMA

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata beliau masih tidak berpuas hati dengan mutu siasatan oleh pegawai dan anggota polis walaupun bilangan kes jenayah telah berkurangan.

“Kita jangan berpuas hati dapat menurunkan indeks jenayah jalanan sebanyak 38 peratus dan indeks jenayah keseluruhan sebanyak 16 peratus untuk tempoh sembilan pertama tahun ini, sebaliknya perlu terus bekerja keras untuk memastikan rakyat boleh hidup dengan aman dan selamat,” katanya.

Bercakap kepada pemberita pada majlis penghargaan untuk atlet-atlet Polis Diraja Malaysia yang menyertai Sukan Komanwel ke-19 di India baru-baru ini dan untuk anggota Kumpulan Inovatif dan Kreatif PDRM di sini hari ini, beliau berkata budaya kerja pegawai dan anggota polis harus diubah.

Katanya oegawai penyiasat perlu lebih proaktif dan sepatutnya sentiasa menghubungi pelapor untuk memaklumkan status siasatan.

“Jika orang marah-marah pun kita perlu terima,” katanya.

Beliau berkata bagi menambah baik mutu perkhidmatan pasukan polis, satu “bank idea” akan diwujudkan bagi membolehkan seluruh anggota dan pegawai PDRM menyalurkan cadangan yang boleh meningkatkan mutu perkidmatan pasukan.

“Kita akan terima segala idea, cadangan dan pendapat daripada semua anggota. Walaupun idea itu dari konstabel, tetapi jika ia bagus, kita akan guna pakai dan akan memberi penghargaan atas idea itu,” katanya.

Ketika diminta mengulas siasatan terhadap 10 anggota polis yang didakwa mencuri kira-kira 40 kilogram syabu dari seorang pemandu lori yang ditahan membawa 700 kilogram dadah bernilai RM270 juta tahun lepas, Ismail berkata mana-mana pegawai dan anggota polis termasuk dirinya tidak akan dilindungi dan boleh diheret ke mahkamah jika terbukti melakukan kesalahan.

“Yang salah tetap salah, mereka boleh dituduh di mahkamah kerana undang-undang tidak kenal siapa sama ada polis atau orang awam, tidak kira tua, muda, lelaki, wanita. Malah, ada anggota dan pegawai polis yang telah dibawa ke mahkamah dan dijatuhi hukuman,” katanya.

Ismail mengakui bahawa polis juga mempunyai kelemahan dan boleh membuat kesilapan.

“Kita perlu akui kesilapan tersebut, kita tidak sembunyi apa-apa. Kita akan lihat secara keseluruhan kesalahan itu dan memperbetulkannya,” katanya.

Ismail berkata sesuatu yang melibatkan anggota polis juga perlu dilihat secara lebih meluas seperti kejayaan polis mematahkan pengedaran dadah kerana ia memberi kesan kepada masyarakat.

Terdahulu, Ismail memakaikan pangkat kepada tiga pengarah baru yang dinaikkan ke pangkat Komisioner.

Mereka ialah Pengarah Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam Datuk Khalid Abu Bakar, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Noor Rashid Ibrahim.

Mengenai kejayaan dua atlet PDRM yang mewakili kontinjen negara ke Sukan Komanwel di New Delhi baru-baru ini, Ismail berkata ia wajar dicontohi oleh seluruh warga PDRM.

“Kejayaan ini perlu dijadikan pendorong kepada atlet PDRM lain untuk terus bersaing dan memberikan persembahan yang terbaik,” katanya merujuk kepada ASP Bibiana Ng Pei Chin yang meraih pingat emas acara menembak 10 meter air pistol dan satu pingat gangsa dalam acara 25 meter sport pistol.

Konstabel Khairul Anuar Abdul Kadir pula mendapat satu pingat gangsa dalam acara beregu boling padang.

Pada majlis itu, Ismail menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Ng dan RM2,000 kepada Khairul Anuar kerana kejayaan mereka.

Dalam Sukan Komanwel yang berakhir Khamis lepas, kontinjen Malaysia membawa pulang 12 pingat emas, 10 perak dan 13 gangsa yang merupakan pencapaian terbaik negara dalam sejarah penyertaan di Sukan Komanwel.

Tiada ulasan: