Jumaat, 15 Oktober 2010

Gaji Minima: Perlu Keazaman Politik dan Perubahan Menyeluruh

FREE MALAYSIA TODAY

NikNazmi PETALING JAYA: Pelaksanaan gaji minima memerlukan keazaman politik dan perubahan menyeluruh, kata Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sudah sekian lama pekerja-pekerja terutamanya menerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah memperjuangkan dasar gaji minima bagi membela kebajikan pekerja.

Menurut beliau, PKR telah menjadikan gaji minima sebagai antara lima manifesto utama pada Pilihan Raya Umum 2008. Komitmen melaksanakan gaji minima juga telah dimeterai oleh Pakatan Rakyat menerusi Dasar Bersama yang diluluskan Konvensyen Pakatan Rakyat pertama pada tahun lepas.

Nik Nazmi menegaskan, "masalah kadar upah yang rendah adalah masalah utama yang membelenggu pekerja dan keluarga mereka.

Sudah begitu lama Malaysia bergantung kepada kadar upah rendah dengan
kebanjiran pekerja asing.

"Ekonomi negara tidak meningkat dalam rangkaian nilai dan rakyat Malaysia berhadapan kos sara hidup yang tinggi. Kesannya, semakin ramai pekerja dan keluarga mereka dibebani hutang di sekeliling pinggang," kata beliau yang juga Adun Seri Setia.

Katanya, beliau kesal dengan pandangan Menteri Sumber Manusia Datuk S. Subramaniam yang seolah-olah berat hati untuk melaksanakan dasar gaji minima.

Namun beliau menyambut baik hasrat kabinet hendak membincangkan cadangan gaji minima untuk pekerja-pekerja di Malaysia.

BN gagal bela kaum pekerja

Ujarnya, "ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika kita memeriksa rekod Barisan Nasional yang gagal membela golongan pekerja selama lebih 50 tahun memegang kuasa.

"Pengalaman negara-negara luar membuktikan dasar ini boleh berjaya seiring pengenalan dasar-dasar lain yang memacu pertumbuhan ekonomi," tambahnya.

Isu meningkatkan pengangguran mahupun mengurangkan pelaburan asing tidak timbul jika kerajaan membina keyakinan untuk meningkatkan pelaburan asing dan swasta serta pada masa yang sama melabur dalam sektor pendidikan, latihan dan infrastruktur.

Nik Nazmi berkata, "ini sekaligus dapat meningkatkan kemahiran dan produktiviti pekerja. Kerajaan juga mesti serius mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing.

Di samping itu katanya, keyakinan pelabur hanya dapat diperoleh dengan mengembalikan kewibawaan institusi-institusi kerajaan berserta memerangi gejala rasuah.

"Isu-isu ini yang telah menjejaskan kebolehan Malaysia menarik pelaburan hari ini meskipun belum melaksanakan gaji minima," terang beliau.

Menurut beliau lagi, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjanjikan pendapatan minimum isi rumah sebanyak RM4,000 menjelang lima tahun Pakatan Rakyat memegang tampuk Kerajaan Persekutuan ketika mengulas pencapaian separuh tahun ekonomi negara yang hambar Ogos lalu.

"Sasaran ini dapat dicapai dengan iltizam untuk memerangi ketirisan serta rasuah, melakukan reformasi terhadap sistem kehakiman serta institusi awam lainnya di samping mengembalikan kredibiliti, ketelusan dan pertanggungjawaban untuk menarik pelaburan asing secara langsung .

"PKR berpendapat gaji minima akan benar-benar bermakna hanya jika dilaksanakan bersama perubahan menyeluruh tersebut dengan keikhlasan membela hak pekerja dan rakyat Malaysia," katanya.

Tiada ulasan: