Ahad, 17 Oktober 2010

Batu Sapi: PBS mesyuarat esok, calon BN waktu terdekat

BERNAMA

ANDAKAN – Senarai calon Barisan Nasional (BN) yang dicadang untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi dijangka dikemukakan kepada BN negeri dalam masa terdekat untuk dipertimbangkan.

Pengerusi BN Batu Sapi Datuk Samsudin Yahya berkata senarai itu dijangka dapat disiapkan selepas Parti Bersatu Sabah (PBS) yang mewakili BN bagi kerusi tersebut bermesyuarat esok.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Sebelum itu, ketika ditemui pemberita selepas melawat projek pembangunan di Pulau Timbang dekat sini, Samsudin yang juga Ketua Umno Bahagian Batu Sapi berkata BN Batu Sapi akan memastikan kerusi tersebut kekal dalam tangan mereka.

“Semangat perpaduan dan kerjasama antara parti komponen BN akan menjadi keutamaan dan kami akan memastikan calon itu memperolehi kemenangan dengan majoriti yang besar,” katanya.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong selepas wakilnya Datuk Edmund Chong Ket Wah meninggal dunia dalam nahas jalan raya di Kota Kinabalu minggu lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan 26 Oktober ini bagi tarikh penamaan calon dan 4 November hari pengundian. Terdapat seramai 25,582 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 24,047 pemilih biasa dan 1,535 pemilih pos di kawasan itu.

Tiada ulasan: