Khamis, 7 Oktober 2010

Batalion Askar Wataniah ditubuhkan di 172 kawasan Parlimen

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Rancangan mewujudkan satu batalion Askar Wataniah di semua 222 kawasan Parlimen hampir tercapai apabila 172 kawasan sudah diisi dengan pasukan itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Dr Ismail Ahmad, berkata kementerian itu menjangkakan askar wataniah akan ditempatkan di baki 50 kawasan lagi menjelang tahun depan demi mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian itu iaitu 66,600 anggota dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Dengan pencapaian ini, kita sebenarnya sudah mencapai 50 peratus sasaran yang ditetapkan dan kini fokus kita adalah di Sarawak dan Perak," katanya pada sidang media selepas majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Pada 13 April tahun lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penubuhan satu batalion Askar Wataniah di semua 222 kawasan Parlimen dalam usaha memantapkan sistem pertahanan negara.

Pasukan pertahanan itu akan mengandungi 300 anggota bagi setiap platun (untuk setiap kawasan Parlimen) yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Ahmad Zahid berkata, sasaran penambahan jumlah askar wataniah itu bertujuan memperkukuhkan lagi konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) selain sebagai usaha membantu angkatan tentera dalam menjalankan tugas menjaga keamanan negara.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai status dua unit enjin F-5E jenis GE J85 21-A yang berjaya dibuktikan ia milik kerajaan Malaysia oleh Mahkamah Uruguay, Ismail berkata: "Apa yang saya tahu, kita kini dalam proses perbincangan di peringkat akhir untuk membawa balik enjin itu."

Beliau berkata, ketika ini beliau hanya dimaklumkan bahawa pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pejabat Peguam Negara akan ke Uruguay dalam bulan ini bagi mengambil semula enjin tersebut.

Enjin tersebut dilaporkan hilang dari dua kemudahan TUDM pada 20 Disember 2007 dan 1 Januari 2008.

Beliau berkata, kejayaan menyelesaikan kes itu adalah hasil kerjasama baik antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Tiada ulasan: