Rabu, 6 Oktober 2010

Ahli politik diingatkan tidak campur tangan: Khalid

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Ahli politik diingatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan membabitkan kejadian bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama beberapa individu lain, yang dikaitkan dengan suspek utama.

Peringatan itu disuarakan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar kerana sebarang kenyataan akan mengganggu siasatan dan boleh menimbulkan kebimbangan orang ramai.

“Bila berlaku sesuatu kes itu, biarlah kita jalankan siasatan terlebih dulu dan apa jua keputusan, kita akan umumkan kemudian.

“Buat sementara waktu ini, bersabarlah dan jangan buat sebarang kenyataan yang boleh mengganggu apa jua siasatan kami,” katanya ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Polis Kontinjen Selangor di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam yang membuat sidang media berhubung kehilangan dua individu iaitu saudagar batu permata dari India, Muthuraja Allal Kanthan dan ahli perniagaan, S Anpalagan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas tindakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin, beliau menegaskan, individu itu sepatutnya tidak membuat sebarang spekulasi.

“Kita sudah cakap banyak kali. Kenapa perlu buat spekulasi? Siasatan kita akan selesai, jadi bersabarlah kerana kita tidak akan sembunyikan atau lindungi apa jua hasil siasatan,” katanya.

Tiada ulasan: