Ahad, 18 April 2010

Abdul Hadi bela Zaid

SINAR HARIAN ONLINE


HULU SELANGOR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menjelaskan calon Pakatan Rakyat (PR) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim sekarang sudah berubah semenjak pulang dari Mekah.

Katanya, dakwaan mengaitkan calon PR itu sebagai individu yang kerap bersosial dan 'kaki minum' adalah tidak adil kerana ia berbentuk tuduhan semata-mata tanpa memberi ruang kepadanya membuat penjelasan.

“Saya tidak baca blog, jadi saya tidak tahu, tetapi sebagai orang Islam, kita perlu bertanya dengan tuan badan sendiri, bukannya mempercayai blogger,” katanya ditanya media di Pusat Penamaan Calon Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, semalam.

Beliau mengulas dakwaan banyak blogger yang mendakwa Zaid seorang yang kuat bersosial dan 'kaki minum' serta tidak sesuai dijadikan calon PR untuk pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor.

Mengenai tindakan Zaid, yang pernah menyaman Kerajaan Kelantan kerana mahu mewujudkan hukum hudud, Hadi berkata, perkara itu sudah diselesaikan.

“Zaid telah tarik balik saman tersebut, jadi sekarang perkara itu bukan lagi menjadi isu,” katanya.

Hadi, yang juga Ahli Parlimen Machang, menyatakan keyakinannya bahawa PKR mampu memenangi PRK itu kerana sokongan kuat penduduk.

“Kita boleh membuat kejutan di sini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula menegaskan isu minum arak tidak perlu diperbesar-besarkan dan menjelaskan ada dalam kalangan pemimpin terdahulu yang peminum.:

“Apapun, Zaid sekarang sudah berubah dan kita nampak perubahannya,” katanya.

PRK Parlimen Hulu Selangor diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR akibat barah otak pada 25 Mac lalu.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan semalam sebagai hari penamaan calon dan 25 April sebagai hari mengundi.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan calon Barisan Nasional, PR dan dua bebas.

Tiada ulasan: