Ahad, 14 Mac 2010

Rusuhan Natrah: Bila pula Melayu bersatu ketika itu? - Khalid Samad

Oleh Mohd Ali Bakri


KUALA LUMPUR: Penyatuan semula Umno dan Pas, menggunakan isu Natrah adalah tidak tepat kerana wujudnya dasar dan sikap Umno yang tidak jelas terhadap Islam itu sendiri, kata Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata demikian dalam suatu sidang media ketika merujuk sebuah laporan Utusan Malaysia yang berjudul, 'Bukan mustahil Melayu bersatu' yang mana antara laporannya, menyifatkan bahawa perpaduan Melayu wujud dalam peristiwa rusuhan Natrah di Singapura 1950.

Sementara itu, Khalid dalam kenyataan balasnya terhadap laporan itu berkata, orang Melayu, khususnya Umno tidak pernah bersatu dengan parti-parti Melayu apabila isu rusuhan Natrah muncul ketika itu.

"Saya nak maklumkan bahawa dalam isu Natrah ini sekali pun orang Melayu tidak bersatu

"Umno ditubuhkan pada 1946. Dalam isu Natrah 1950, Umno diam membisu. Yang ke depan dalam isu itu (rusuhan Natrah) ialah Angkatan Pemuda Insaf (Api), Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Wanita Sedar (Awas) dan sebagainya," kata beliau lagi.

Dasar perkauman Umno lebih hina berbanding dasar keadilan sosial

Khalid berkata, Pas tidak boleh bersatu dengan Umno kerana dasar perjuangan Umno lebih hina berbanding parti-parti politik yang perjuangkan keadilan sosial.

"Ini kerana, dasar perjuangan Umno adalah perkauman, dan ia bercanggah dengan Islam. Apabila kita nak cari orang untuk dijadikan kawan dalam persepakatan, kita tidak melihat siapa ahli parti itu, kita tengok kepada dasar perjuangan parti itu.

"Dasar Umno yang melihat kepentingan kaum adalah dasar yang bercanggah dengan Islam. Sebab itu, kita mudah berpakat dengan parti-parti yang ingin menegakkan keadilan sosial berbanding parti yang hanya melihat masyarakat daripada sudut kepentingan kaumnya sendiri.

"Jadi, kalau ada orang kata, adalah lebih mudah bekerjasama dengan Umno, maka saya ingin tegaskan bahawa ini adalah suatu mitos, kerana apabila nak bekerjasama, kita tidak melihat kepada ahli, tetapi kita lihat kepada dasar perjuangan," kata beliau.

Dasar perjuangan Umno, menurut Khalid, adalah dasar yang cukup jauh daripada dasar perjuangan Pas.

"Tiada titik pertemuan antara perjuangan Islam dan perjuangan perkauman. Tapi, ada titik pertemuan antara perjuangan Islam dan keadilan sosial," kata beliau lagi.

Tiada ulasan: