Khamis, 11 Mac 2010

Pesakit kencing manis menjadi buta

FREE MALAYSIA TODAY

dunia-orang-buta1 KUALA LUMPUR: Seorang dari empat pesakit kencing manis yang mengalami kerosakan retina (bola mata) menjadi buta kerana mereka mendapatkan rawatan terlalu lewat.

Ketua Penyiasat Pendaftar Diabetik Mata Kebangsaan, Dr Nor Fariza Ngah berkata dari jumlah 13,973 pesakit kencing manis retinopathy, seramai 3,311 pesakit mengalami kerosakan retina yang teruk dan dari jumlah itu, seramai 774 pesakit menjadi buta dan tidak boleh diselamatkan lagi

Statistik ini diambil dari sejumlah 36,952 pesakit kencing manis yang mengalami ‘diabetic retinopathy’, diperiksa dari Januari 2007 hingga Disember 2009.

Dr Nor Fariza memberitahu The Star bahawa tanda-tanda penyakit itu seringkali tidak dapat dikesan, kerana ia bersifat ‘asymtomatic’, ada pesakit yang melihat tanda-tanda yang terapung-apung atau pandangan yang kabur.

Untuk tujuan ini, katanya, setiap pesakit mestilah menjalani pemeriksaan mata sekurang-kurangnya setahun sekali.

Beliau berkata, kerosakan retina berlaku apabila selaput nipis pada retina terkeluar dari dinding mata dan pesakit boleh mengalami pendarahan pada bola mata.

"Saluran darah pada mata yang tersumbat akibat dari saluran darah baru yang bertambah pada lingkungan mata dan menarik retina dari belakang dinding mata.

"Ia juga boleh berlaku apabila protein melimpah ke dalam saluran darah mengelilingi retina dan menyebabkan bengkak," tambahnya.

Pakar bedah retina dari Universiti Malaya, Dr Angela Loo berkata setengah pesakit menjadi buta walaupun pembedahan terbaik telah dilakukan kerana mereka sudah terlalu lambat ketika mendapatkan rawatan.

Beliau yang mendapat latihan di Britain selama tujuh tahun dan berkhidmat di Hong Kong selama empat tahun berkata, kurangnya kesedaran dan sikap endah tidak endah masyarakat Malaysia merupakan sebab utama penyakit ini.

"Ramai pesakit kencing manis tidak mengawal dengan baik penyakit mereka dan tidak mendapat rawatan serta ramai juga yang tidak kembali mendapatkan rawatan laser dan ini menyebabkan penyakit mereka semakin teruk," katanya.

Tiada ulasan: