Isnin, 1 Mac 2010

Pendakwah bebas ditahan

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL


KUALA PILAH - Seorang pendakwah bebas yang berasal dari Perlis hari ini ditahan anggota Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) ketika sedang berceramah di Maahad Ittiba Sunnah di sini hari ini.

Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan selepas beberapa kali diberi amaran dan gagal mematuhi arahan JHEAINS agar mendapatkan tauliah sebelum mengajar atau berceramah di negeri ini.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) JHEAINS, Ahmad Husaini Mustafa berkata, turut ditahan ialah tiga pengikut kanan penceramah itu yang berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun.

"Sebelum ini, JHEAINS telah beberapa kali menasihatkan pendakwah itu supaya mendapatkan tauliah sebelum mengadakan ceramah.

"Malah kita telah mengeluarkan surat kepada penganjur iaitu Maahad Ittiba Sunnah supaya memohon dan mendapatkan keizinan JHEAINS beberapa hari lalu sebelum membenarkan pendakwah itu memberikan ceramah di situ," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di lokasi serbuan itu di sini hari ini.

Dalam serbuan pukul 11.30 pagi itu, pihak penguat kuasa turut merampas beberapa buah buku dan risalah, selain peralatan yang digunakan dalam ceramah di maahad itu yang terletak di Kilometer 1.5 Jalan Seremban-Kuala Pilah.

Ketika serbuan dilakukan, terdapat hampir 50 pengikut sedang leka mendengar ceramah yang disampaikan pendakwah berkenaan.

Suasana menjadi kecoh seketika apabila sebahagian daripada pengikutnya itu tidak berpuas hati dengan tindakan JHEAINS.

Mereka turut mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota penguat kuasa JHEAINS sambil mendakwa tindakan menangkap penceramah itu tidak wajar serta mencemarkan imej agama Islam.

Menurut Ahmad Husaini, sebahagian daripada pengikut ceramah itu merupakan kakitangan kerajaan, pesara dan ahli perniagaan.

"Kita telah memerhatikan pergerakan pendakwah bebas ini sejak beberapa bulan lalu dan kita dapati dia masih berdegil meneruskan kegiatannya walaupun telah beberapa kali ditegur," jelasnya.

Katanya, pendakwah bebas itu bersama pengikut kanannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah untuk soal siasat dan dijangka akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah di sini esok.

Katanya, lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah 2003 kerana mengajar tanpa tauliah dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara.

Tiga pengikutnya pula, kata beliau, boleh didakwa di bawah Seksyen 35 enakmen yang sama kerana bersubahat dan jika disabitkan kesalahan akan menerima hukuman dan denda yang sama.

Tiada ulasan: