Khamis, 4 Mac 2010

500 Mangsa Kebakaran Terabai?

SABAH DAILY

PARTI Maju Sabah (SAPP) menggesa Kerajaan Negeri menjelaskan status Kampung Sri Pandan di Putatan, Sabah yang mengalami kebakaran besar beberapa hari lalu bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada 500 mangsa bencana itu.

Pengerusi Perhubungan Kawasan (CLC) SAPP Tanjung Aru, Datuk Richard Yong berkata, status kampung itu sangat penting agar mangsa kebakaran dapat tahu samada mereka boleh atau tidak membina semula rumah di atas tapak tanah rumah mereka yang telah terbakar pada minggu lalu.


“Walaubagaimanapun, adakah Kerajaan Sabah mempunyai rancangan menempatkan semula para mangsa itu dan apakah bentuk bantuan yang telah mereka terima setakat ini,” soal Richard ketika melawat para mangsa kebakaran itu pada hari ini.

Beliau diiringi Pengerusi Perhubungan Kawasan (CLC) Petagas, Dullie Haji Marie serta ahli-ahli parti dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas.

Richard kesal kerana belum ada kelihatan tindakan yang berkesan daripada wakil-wakil rakyat dari kawasan tersebut walaupun kebakaran itu telah berlaku beberapa hari lalu.

Kebakaran yang berlaku pada hari Jumaat lalu telah memusnahkan kira-kira 42 buah rumah dan mengakibatkan 500 orang dari 70 keluarga hilang tempat tinggal serta sebahagian besar harta benda mereka.

Richard turut memberi pujian terhadap sikap keprihatinan beberapa Persatuan Bukan Kerajaan [NGOs] yang tampil ke depan mengageh-agehkan sumbangan berupa makanan, pakaian dan wang kepada para mangsa kebakaran tersebut.

Beliau berkata, tindakan cepat NGO dalam membantu para mangsa kebakaran tersebut jelas menunjukkan mereka mendahului Kerajaan Negeri.

Beliau seterusnya merayu Kerajaan agar bertindak segera bagi meringankan bebanan para mangsa kebakaran tersebut. -Sabahkini

Tiada ulasan: