Isnin, 1 Mac 2010

2 guru maut tak sempat ke sekolah

Oleh Mohd Fakri Awang Lah, Nor Hazwani Hamat dan
bhkb@bharian.com.my


KUALA KRAI: Dua guru yang mengajar di Gua Musang maut, manakala seorang lagi cedera apabila kereta dinaiki mereka bertembung sebuah bas membawa pelajar universiti ketika dalam perjalanan ke sekolah dekat Pahi di sini, awal pagi semalam,

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.10 pagi di Kilometer 80.6 Jalan Kota Bharu-Gua Musang itu, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Hendrop, Rosdi Ismail, 32, yang juga penumpang depan, mati di tempat kejadian.

Rakannya yang juga guru di SK Pos Brooke, Wajidi Mayushoh, 32, mati ketika dalam rawatan kecemasan di Hospital Kuala Krai (HKK) kira-kira jam 8 pagi, manakala pemandu kereta, Abd Halim Mustapa, 27, cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar di HKK.

Pemandu bas yang membawa 12 penuntut Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) dari Shah Alam yang bertembung dengan kereta mangsa terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Ab Rahim Che Ghani, berkata ketika kejadian, tiga guru terbabit dalam perjalanan ke sekolah masing-masing yang terletak di sekitar Gua Musang, manakala bas MSU dalam perjalanan menghantar sekumpulan penuntut kejururawatan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

"Siasatan awal mendapati, Abd Halim dipercayai tidak dapat mengawal kereta Perodua Kancil apabila sebuah kereta berada di hadapannya, dikatakan tiba-tiba membrek untuk mengelak daripada berlanggar sekumpulan lembu.

"Cubaannya mengelak daripada terlanggar kereta yang membrek di depannya, dipercayai menyebabkan Perodua Kancil yang dinaiki itu termasuk ke laluan bersebelahan sebelum bertembung dengan bas,” katanya.

Ab Rahim berkata, mayat kedua-dua mangsa dimasukkan ke Rumah Mayat HKK untuk bedah siasat bagi membantu siasatan yang dijalankan sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Jenazah Rosdi yang meninggalkan seorang balu, Nur Eliana Che Mat, 30, dan seorang anak, Amir Wafik Tabrani, 4, dibawa pulang dan dikebumikan di Bukit Jawa, Selising, Pasir Puteh.

Ibunya, Rogayah Daud, 60, berkata Rosdi yang bermalam di rumahnya malam kelmarin, keluar dari situ kira-kira jam 4 pagi dengan menumpang Abd Halim yang tinggal di Peringat, untuk kembali ke SK Pos Hendrop.

"Biasanya dia balik ke Kota Bharu untuk melawat isteri dan anaknya yang tinggal di Pasir Pekan setiap hujung minggu, sebelum kembali ke Gua Musang awal pagi Ahad.

"Pagi ini, dia kelihatan tidak berselera untuk makan, hanya sempat meneguk segelas air kosong sebelum bergegas keluar untuk bertolak ke Gua Musang, selepas bersalam memohon maaf dan mencium saya," katanya.

Katanya, Rosdi baru memulakan tugas sebagai guru di Gua Musang sejak Januari lalu selepas tamat menjalani Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan setakat ini belum sempat menikmati gaji pertama dalam kerjaya barunya itu.

Sementara itu, jenazah Wajidi yang meninggal seorang isteri, Siti Noor Che Jaafar, 32, dan anaknya, Muhammad Hakim, 2, dikebumikan di Kampung Padang Siam, Tanah Merah.

Siti Noor yang juga seorang guru, berkata suaminya berkhidmat di Gua Musang sejak Januari lalu sejurus menamatkan KPLI.

"Setiap minggu, suami pulang melawat saya bersama anak yang tinggal di Pantai Senok, Bachok dengan menumpang rakannya yang turut bertugas di kawasan sama," katanya.

Tiada ulasan: