Khamis, 24 September 2009

Kandang ternakan dinaiki air, pemuda terselamat kerana tiba lewat

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kelewatan seorang anak penternak lembu dan kambing menjalankan tugas harian untuk memerah susu lembu seperti biasa menyelamatkan nyawanya apabila sebuah empangan yang berdekatan ladangnya di kawasan Lembah Sungai Tua Ulu Yam dekat sini pecah malam tadi.

S. Sathiyasilan, 21, berkata ketika kejadian yang berlaku kira-kira 8.50 malam itu beliau tiba lewat kerana menduduki peperiksaan di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTs) di sini.

"Setibanya saya di ladang, saya nampak tanah dari kawasan bukit yang dipenuhi sampah runtuh lalu memusnahkan ladang milik bapa saya dalam sekelip mata.

"Kalau saya tiba awal seperti biasa, pastinya saya juga akan hanyut atau lemas seperti ternakan itu," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Keluarganya adalah pemilik satu daripada dua ladang yang terdapat di kawasan lembah yang terletak bersebelahan dengan kawasan pelupusan sampah Sungai Kertas itu. Dalam kejadian malam tadi, lebih daripada 300 ekor lembu dan kambing dari dua ladang dekat kawasan Lembah Sungai Tua Ulu Yam terperangkap apabila kandang mereka dinaiki air berikutan sebuah empangan yang berdekatan pecah.

Empangan itu pecah dipercayai disebabkan oleh pelanggaran sampah yang tertimbun hampir 100 meter tinggi di kawasan pelupusan sampai Sungai Kertas yang terletak bersebelahan dengan empangan itu.

Sathiyasilan berkata hanya 70 ekor daripada 100 ekor lembu dan empat kambing daripada 40 ekor kambing milik keluarganya berjaya diselamatkan ke kawasan tinggi.

Katanya baki ternakan itu dipercayai lemas atau hilang.

Di sebuah lagi ladang, dipercayai hanya 140 daripada 240 ekor ternakan sahaja berjaya diselamatkan dengan kerugian penternak itu dianggarkan bernilai lebih RM50,000.

Tinjauan Bernama mendapati timbunan sampah itu menimbulkan masalah kerana terbakar sejak lebih enam bulan lalu dan sukar dipadam serta menyebabkan asap tebal menyelubungi kawasan sekitar.

Wakil Majlis Perbandaran Selayang (MPs) yang enggan dikenali ketika ditemui berkata bagi mengatasi kesukaran memadam kebakaran sampah itu, pihaknya terpaksa membuat longkang berisi air bagi membantu memadam kebakaran terbabit.

Namun, kawasan itu mencetuskan masalah lain pula apabila timbunan sampah sarap yang dikatakan semakin berat melimpah ke dalam empangan takungan air.

Katanya empangan yang pecah seperti yang berlaku semalam itu menyebabkan ternakan di kawasan lembah berkeluasan 200 meter panjang dan 100 meter lebar terbabit terperangkap.

Beliau berkata pihaknya akan menimbus kawasan itu dengan tanah sebagai jalan terakhir menghapuskan pembakaran secara terbuka.

Tiada ulasan: