Rabu, 26 Ogos 2009

SPRM dakwa Teoh terlibat lulus projek palsu

BERNAMA


Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini mengenai kegiatan empat syarikat Bumiputera yang menurutnya meminjamkan kepala surat syarikat mereka kepada individu tertentu untuk menjalankan projek yang tidak wujud yang mendapat kelulusan Teoh dan ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Pegawai penyiasat SPRM Selangor, Mohd Anuar Ismail, dalam keterangannya berkata demikian berdasarkan empat keping invois yang diperoleh dan dicetak daripada komputer riba Teoh semasa dia disoal siasat di pejabat SPRM pada 15 dan 16 Julai lepas.

"Pegawai penyiasat telah melakukan siasatan terhadap empat dokumen ini dan menunjukkan keempat-empat syarikat ini telah meminjamkan kepala surat syarikat mereka kepada individu tertentu dan telah menerima komisen (kerana meminjamkan kepala surat)," kata Mohd Anuar ketika memberi keterangan sebagai saksi ke-16 prosiding itu.

Ketika ditanya oleh peguam pemerhati SPRM, Datuk Abdul Razak Musa, saksi itu menamakan keempat-empat syarikat tersebut sebagai Syarikat Fizami Construction, Aris Enterprise, MKMN Enterprise dan M A Bina Melor Enterprise.

"Berdasarkan siasatan SPRM, syarikat Fizami telah memperolehi 26 projek bernilai RM147,812, syarikat Aris mendapat 14 projek bernilai RM88,275.30, syarikat MKMN dengan enam projek bernilai RM50,765 dan M A Bina Melor memperolehi tujuh projek dengan nilai RM69,010.

"Semua projek ini akhirnya pergi kepada Teoh dan Ean untuk tujuan kelulusan," kata Mohd Anuar.

Teoh adalah setiausaha politik Ean yang juga Anggota Exco Kerajaan Selangor.

Mohd Anuar, berkata melalui penyiasatannya, beliau mendapati kegiatan serupa yang dilakukan oleh tujuh syarikat lain, serta beberapa bukti sokongan yang menunjukkan berlakunya penyelewengan wang peruntukan Adun Selangor dalam projek palsu itu.

Bagaimanapun pendedahan mengenai penglibatan tujuh syarikat itu dibantah oleh peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, dengan alasan ianya telah terkeluar daripada skop prosiding inkues yang hanya membenarkan invois empat syarikat terdahulu dikemukakan.

Gobind kemudian mencabar SPRM membekalkannya semua dokumen berkaitan bagi membolehkan pihaknya menjawab dakwaan itu.

"Semalam kita telah diberitahu secara jelas bahawa soalan-soalan yang akan dikemukakan hanya menjurus kepada empat invois itu sahaja.

"Apa yang berlaku hari ini seolah-olah SPRM hendak mendedahkan semua bukti siasatan mereka. Saya mahukan perintah mahkamah sekarang untuk menangguhkan prosiding ini supaya kami dibekalkan semua dokumen dan jadikan prosiding inkues ini sebagai perbicaraan rasuah Teoh Beng Hock," katanya.

Tiada ulasan: