Jumaat, 21 Ogos 2009

RM4.1b majukan luar bandar

UTUSAN ONLINE


SAMARAHAN - Kerajaan Persekutuan memberi peruntukan istimewa berjumlah RM4.1 bilion kepada Sarawak untuk melaksanakan pelbagai pembangunan di luar bandar mulai tahun ini hingga 2012.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, daripada jumlah itu, RM539 juta akan dibelanjakan tahun ini dengan sebahagiannya diperuntukkan kepada projek bekalan tenaga.

"Tahun ini sahaja, kementerian kita memperuntukkan RM103 juta bagi projek pembangunan perumahan manakala bekalan elektrik di kawasan luar bandar pula membabitkan peruntukan RM250 juta.

"Sebanyak RM91 juta akan disalurkan untuk projek jalan-jalan kampung, RM90 juta bagi bekalan air manakala RM5 juta bagi pelaksanaan lampu-lampu jalan dengan keseluruhan peruntukan daripada kementerian ini lebih RM500 juta," katanya.

Beliau berucap pada majlis penyerahan kunci rumah program bantuan rumah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat kepada 55 penerima di Dewan Masyarakat Kampung Sambir dekat sini malam tadi.

Hadir sama Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Mohd. Shafie berkata, peruntukan istimewa kepada Sarawak itu termasuk dana RM2 bilion untuk membina dan meningkatkan jalan raya sepanjang 750 hingga 1,500 kilometer.

Katanya, daripada jumlah tersebut juga, sebanyak RM900 juta diperuntukkan kepada projek bekalan elektrik luar bandar dan RM750 bagi projek bekalan air.

Tambahnya, kesemua projek tersebut di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan akan disiapkan pada 2012.

"Kita akan melaksanakan pelbagai program pembangunan secepat mungkin agar rakyat yang masih ketinggalan dapat menikmati pembangunan bersama.

"Segala pembangunan yang dirancangkan itu perlu mendapat kerjasama dan sokongan daripada rakyat agar dapat dilaksanakan dengan berkesan," katanya.

Mohd. Shafie percaya jika rakyat terus berusaha dan bersatu memberi sokongan padu kepada kerajaan yang ditunjangi oleh Barisan Nasional (BN), maka hasrat untuk melihat seluruh masyarakat hidup dalam suasana aman dan sejahtera pasti akan tercapai.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk di Sarawak khususnya di luar bandar supaya tidak terpesona dengan janji-janji dan hasutan pihak pembangkang.

"Pihak pembangkang sememangnya menggunakan arena politik untuk kepentingan agenda peribadi mereka.

"Justeru, jika rakyat terpedaya dengan janji-janji manis mereka sudah pasti ketinggalan dalam arus pembangunan," katanya.

Tiada ulasan: